DAP terus jadi mangsa ucapan kebencian, berita palsu UMNO


Penyebaran berita palsu dan ucapan kebencian oleh pihak pembangkang untuk menganggu-gugat keharmonian antara kaum dan agama di negara ini semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. 
Terbaru, Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebook mengeluarkan 10 sebab mengapa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad perlu menyingkirkan dua parti yang bercirikan pelbagai kaum dalam Pakatan Harapan, iaitu DAP dan PKR demi maruah Melayu. 
“10 sebab” yang diberikan Asyraf itu tidak mengandungi sebarang asas dan bukti serta jelas berunsur fitnah untuk membangkitkan kemarahan orang Melayu. 
Berkongsi pemikiran sempit yang serupa adalah Naib Presiden UMNO, Mohamad Hassan, yang meminta supaya Dr Mahathir membawa keluar partinya, Bersatu dari Pakatan Harapan dan membentuk gabungan bersama PAS dan UMNO. 
Seruan itu ditimbulkan Mohamad selepas berlangsungnya Kongres Maruah Melayu minggu lalu.
Pun begitu, Dr Mahathir tidak melayan desakan pembangkang dan menegaskan bahawa Malaysia adalah negara yang merangkumi masyarakat berbilang kaum dan tidak boleh ditadbir oleh hanya satu-satu kaum. 
“Kita tidak minat untuk membuat kerajaan baru. Kita sedar negara kita adalah negara berbilang kaum dan pihak kerajaan daripada kita merdeka sehingga sekarang mempunyai ahli yang terdiri daripada semua kaum.
“Itu sesuatu hakikat yang kita tidak boleh tolak bahawa negara kita adalah negara berbilang kaum dan semua kaum mempunyai hak dalam negara kita,” katanya.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang turut mengulas pembohongan yang ditimbulkan Asyraf selepas penganjuran kongres berkenaan. 
Menurut pemimpin veteran DAP itu, ucapan kebencian, berita palsu dan pembohongan Aysraf itu adalah ancaman sebenar dan terbesar terhadap maruah orang Melayu dan rakyat Malaysia. 
“Disebabkan itu, langkah pembaikan yang tegas diperlukan dan sangat penting bagi menangani ucapan kebencian dan berita palsu daripada terus memusnahkan Malaysia,” katanya...