DAP kekal lepas kerusi Tanjung Piai kepada Bersatu
DAP membuat keputusan tidak menuntut kerusi Tanjung Piai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini walaupun ia kerusi tradisi mereka.
Pengerusi DAP Tanjung Piai, Yeo Tung Siong yang dipetik laporan Bernama berkata, keputusan itu telah disepakati awal demi memastikan keharmonian dalam kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) terus terjaga.
Ia juga sebagai simbolik kepada semangat setiakawan antara mereka.
“Kita dah buat banyak pertimbangan, jadi dari awal, DAP dah ada pendirian.
“Tidak! Kita tidak akan menandingi kerusi ini kerana yang penting bukan sahaja menang, kalah dalam PRK ini (tetapi) kita juga perlu tengok adakah sebarang tindakan yang akan menyebabkan kesan jangka panjang (kesan buruk) kepada HARAPAN,” katanya.
Sementara itu tambah Tung Siong, pihaknya akan memberi kerjasama penuh bagi memastikan kerusi kawasan itu dapat dipertahankan.
“DAP akan beri sokongan sepenuhnya kepada calon HARAPAN yang akan bertanding dan untuk kali ini, kita akan menyediakan dua tempat untuk menjadi pusat jentera kempen PRK kali ini iaitu di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas dan satu di Bandar Kukup,” tambahnya lagi.
Sikap tolak ansur HARAPAN ini dilihat berbeza dengan Barisan Nasional (BN) yang kelihatan berbalah antara parti komponen mengenai parti manakah yang layak meletakkan calon. – RF8 Media