Lupakah Zainal Kling tentang semangat pembentukan Malaysia 1963?


Oleh Brolin Nicholsion
(Ketua DAPSY Serian dan Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Adun Padungan)  
Kenyataan Ketua Eksekutif Kongres Maruah Melayu, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling yang mengatakan “Malaysia untuk Melayu” membuat beliau lupa akan semangat pembentukan Malaysia 1963 di mana negara ini telah didirikan atas semangat perpaduan di mana orang Melayu, Cina, India, Dayak, Orang Ulu, Kadazan, Bajau dan seluruh rakyat Malaysia yang lahir selepas 1957 bersatu membentuk sebuah Negara yang bernama Malaysia.
Selepas 60 lebih tahun, bangsa Dayak, Cina, India dan yang lain ditindas, dilayan seperti warganegara kelas ketiga namun itu tidak melunturkan semangat mereka untuk memanggil Malaysia sebagai tanah air mereka. Ini boleh dilihat dari pengorbanan jaguh sukan negara seperti Kanang Anak Langkau, Nicol David, Lee Chong Wei, Pandalela Rinong, Tan Cheng Hoe, Datuk Ong King Swee dan ramai lagi telah membuktikan mereka gembira dan bangga mengibarkan jalur gemilang di pentas dunia dan kita lebih maju jika semua kaum bersatu. Walaupun kaum-kaum ini dilayan seperti kelas kedua dan ketiga, mereka tetap berjuang untuk Malaysia yang lebih baik.
Ketua DAPSY Serian dan Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Adun Pandungan, Brolin Nicholsion.
Pada 9 Mei 2018, tarikh ini seperti memberi harapan baru untuk semua kaum bersama-sama dengan bangga memanggil Malaysia sebagai negara mereka kembali selepas menjadi bahan ejekan sebagai negara kleptokrasi yang paling teruk di dunia.
Namun harapan itu seakan-akan meleset dan sukar untuk dicapai kerana penyakit yang dialami selama 60 tahun lebih seakan-akan lebih parah bila banyak yang menidakkan hak-hak kaum-kaum ini. Adakah ini Malaysia Baharu yang diimpikan oleh mereka yang memanggil Malaysia sebagai tanah air mereka atau kita kembali ke Malaysia yang kita kenal seperti dulu. Jangan hairan sekiranya suara untuk keluar Malaysia oleh rakyat Sabah dan Sarawak semakin kuat didengari sekarang. Pemimpin ulung Iban yang juga individu penting menyokong penubuhan Malaysia, Mendiang Tun Jugah Barieng ada menyebut dalam pepatah Iban terhadap pembentukan Malaysia “Anang Malaysia baka tebu, manis bak pun, tabar ujung” yang bermaksud janganlah Malaysia ibarat tebu, manis di pangkal tetapi tawar di hujung. 
Saya mengimpikan Malaysia yang bukan lagi berpaksikan agama dan bangsa terhadap satu dengan yang lain. Walaupun harapan itu kelihatan kecil, saya akan tetap berharap dan masih setia memanggil Malaysia ini “Negaraku”.

No comments: