Laskar siber BN: Dari mana mereka dapat peruntukan? – Mannivanan
Laskar siber atau ‘cybertroopers’ BN pernah longlai dalam masa 3 bulan selepas bekas PM, Najib Razak tumbang dalam pilihan raya umum ke 14 lalu.
Namun laskar siber itu kembali menguasai medan perang di alam maya selepas itu dengan naratif baharu, iaitu menyebarkan berita separuh benar atau palsu sama sekali.
Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digambarkan menolak Islam dan menganiaya kaum Melayu melalui naratif baharu ini.
Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN, G. Manivanan melihat tindakan laskar siber itu menyalahgunakan kebebasan bersuara sehingga melampaui batas dan mampu menggugat keharmonian rakyat berbilang kaum sekiranya tidak diambil tindakan.
“Mana-mana pihak tidak boleh salah gunakan hak bersuara atau melampaui kebebasan bersuara, di mana dimasukkan unsur-unsur jahat dalam sebaran informasi mereka.
“Saya rasa itu perlu dibendung dan dibawa ke muka pengadilan tanpa kita menyelindungi mereka,” katanya dipetik SK.
Malah, Manivanan menyifatkan serangan laskar siber itu merupakan satu jenayah di bawah undang-undang Malaysia sedia ada dan meminta pihak berkuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat mereka secara lebih menyeluruh.
Selain itu, beliau turut mempersoal dana diperolehi laskar itu adakah bersumber daripada bekas PM Najib Razak sebagaimana yang terdedah dalam perbicaraan kes SRC International yang mendedahkan sebahagian dana diperuntukkan kepada ‘operasi siber’.
“Bukan saya sahaja ingin tahu, malah ramai masyarakat di luar sana ingin mengetahui bagaimana cytro Umno/BN ini masih boleh meneruskan tugasan mereka dengan gaji lumayan.
“Saya juga terkilan apabila baru-baru ini Najib dilantik menjadi penasihat Umno dan adakah jawatan sebesar itu diberikan kerana Umno masih memerlukan Najib untuk membiayai ‘cybertroopers’ itu,” kata beliau lagi.
Justeru, Mannivanan menggesa kerajaan melakukan siasatan menyeluruh ke atas operasi siber BN. Menurutnya lagi, sekiranya terdapat dana yang digunakan melibatkan wang diragui maka tindakan tegas perlu dilakukan selain tindakan di bawah akta media bagi memerangi fitnah terancang yang dilakukan.