Pas mulakan permusuhan, kenapa Amanah dikutuk?
Tindakan seorang penyokong PAS menarik simpati warganet kepada partinya tidak kesampaian.
Sebaliknya pandangan dilontarkan individu dikenali sebagai Mohd Nasir Abdullah yang disiarkan laman lidah rasmi parti itu pada Rabu lalu mengundang kecaman umum.
Melalui artikel bertajuk “Mengapa Mahfuz, Hanipa, Khalid memusuhi PAS?” individu itu dilihat cuba mengambarkan ketiga-tiga pemimpin itu sebagai tidak mengenang budi.
Hanya kerana memilih jalan perjuangan politik berbeza, mereka digambarkan bersikap lebih teruk dari bekas musuh politik PAS yang dipercayai merujuk kepada Umno.
“Apabila memikirkan pemimpin seperti Hanipa, Mahfuz dan Khalid ini, ianya sangat menyakitkan hati. Naik mereka dibantu.
“Tiba-tiba pada ketika mereka keluar meninggalkan PAS, kutukan mereka lebih celaka daripada musuh lama PAS,” tulisnya.
Pas mulakan perusuhan
Tulisan individu tersebut membangkitkan rasa kurang senang pembaca, seorang warganet, Awra Fajar membidas tuduhan tersebut sambil tegasnya ketiga-tiga pemimpin dinamakan itu tidak memusuhi PAS.
Sebaliknya tegas Awra, PAS adalah pihak yang bertanggungjawab memulakan permusuhan dengan mereka.
Pandangan serupa disuarakan Mohd Fuad Anwar. Beliau mempersoalkan semula sebab pemimpin-pemimpin tersebut meninggalkan PAS
“Bukan dulu Haji Hadi cabar depa (mereka) keluar PAS tubuh parti baru?” soalnya.
Sebagai rekod, Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada 2014 mencabar golongan yang berselisih pendapat dalam parti itu agar keluar parti untuk menubuhkan gerakan sendiri.
Dengan nada berseloroh, beliau mengumpamakan golongan tersebut sebagai pengacau seperti nyamuk yang mengganggu tidur
Sementara itu, tulisan individu itu juga menuduh Pakatan Harapan (HARAPAN) yang dianggotai ketiga-tiga pemimpin itu meminggirkan Islam di negara ini.
Malah menganggap pemimpin-pemimpin dinyatakan dalam tulisannya sebagai ‘perisai’ DAP.
“Mereka diam membatu. Islam sudah dibakul sampahkan. Hinanya Islam kepada mereka.
“Apabila pimpinan mereka bercakap, tiada sandaran ayat-ayat suci al-Quran mereka sertakan. Sangat jauh dengan Presiden PAS yang selalu menyatukan ucapan dengan dalil al-Quran.
“Tetapi apakan daya, upah yang DAP berikan, mereka rasa sangat bernilai, melampaui janji yang Allah akan berikan di akhirat nanti jika benar-benar berjalan atas landasan Islam,” katanya dipetik artikel itu.
Sekali lagi pandangan yang dilihat keterlaluan itu mengundang kritikan warganet.
Tiada bukti PH musuhi Islam
Dalam ruangan komen, Mohd Nadzri membidas tuduhan tersebut. Tegasnya apa yang berlaku adalah pemimpin PAS termasuk penulis dilihat memusuhi pemimpin-pemimpin berkenaan.
“Wallahua’lam…Allah lebih mengetahui…menurut pengamatan saya PAS yang sangat membenci mereka setelah mereka bertindak keluar dari parti PAS.
“Kebencian secara terang- terangan ditonjolkan didalam tulisan dan ucapan pemimpin PAS lebih2 lagi setelah kemenangan HARAPAN membentuk kerajaan.
Tambah Mohd Nadzri, ketiga-tiga pemimpin tersebut dilihat bekerja melaksanakan amanah yang dipikul demi agama dan negara tanpa mempedulikan fitnah dan kata-kata sinis yang kedengaran dari PAS dan pembangkang.
Sememangnya tulisan individu tersebut sangat keterlaluan. Ia juga mengundang persoalan mengapakan penyokong sebuah parti yang mendakwa berpaksikan ajaran sebenar Islam tidak mengiktiraf perbezaan politik sehingga melempar dakwaan-dakwaan yang hanya berdasarkan persepsi.
“PAS hina Islam dengan menjaja fitnah tanpa henti…..saya bekas ahli PAS Kg Ulu Pulai, Gelang Patah,” tulis seorang individu lain di ruangan komen. – RF8 Media