Malaysia mahu jet peribadi Jho Low pula
Selepas kapal layar mewah Equanimity yang dikaitkan dengan dana 1MDB kembali ke perairan Malaysia, kerajaan kini sedang berusaha mendapatkan semula jet persendirian milik ahli perniagaan kontroversi Jho Low.
“Ya, saya fikir, kita perlu membawanya semula (jet persendirian itu),” kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas melawat pameran seni bertajuk ‘Tun M: A Legacy Forever’ di Maeps Serdang hari ini.
Bagaimanapun, beliau kurang mengetahui butiran terhadap usaha membawa jet peribadi tersebut yang kini ditahan di Singapura.
“Saya tidak tahu, ada orang lain yang melakukannya,” katanya ketika ditanya sama ada perbincangan mengenai perkara ini sudah bermula.
Singapura dilaporkan merampas jet Bombardier Global 5000 berharga AS$ 5 juta pada Februari lalu.
Jet dan kapal layar berharga AS$ 250 juta itu adalah aset yang dikehendaki Jabatan Keadilan AS (DOJ) sebagai sebahagian daripada saman pelucuthakan sivil mereka.
DOJ mendakwa aset tersebut dibeli dengan menggunakan dana 1MDB. Equanimity, yang dikatakan dimiliki Jho Low melalui beberapa perantara.
Equanimity pertama kali disita oleh pihak berkuasa Indonesia pada Februari lalu.
Indonesia mengumumkan minggu lalu bahawa kapal itu akan diserahkan kepada Malaysia.
Ia tiba di Pelabuhan Klang pada Selasa lalu.
Mahathir menaiki kapal layar itu untuk kali pertama semalam dan menggambarkannya sebagai “super mewah” dan tidak seperti mana-mana kapal yang pernah beliau naiki.