Menghidu tanggapan Hadi Awang



Hari ini hampir tidak dapat dibezakan antara UMNO dan PAS. Andai berselisih di jalanan, nescaya yang disangka UMNO itu boleh jadi PAS dan PAS itu boleh jadi UMNO.
Kenyataan penuh prasangka dan tuduhan ala pil kuda menolak kedudukannya setaraf pemimpin-pemimpin Umno yang kini diperlekeh rakyat.
Calon parlimen Putrajaya dari Barisan Nasional pernah mengungkapkan nada yang hampir sama beberapa hari lepas. Mereka mula melagukan isu agama apabila semua jalan untuk menang tertutup rapat.
Kad agama dan perkauman telah menjadi bahan pertaruhan demi sekupang dua nilai perjuangan untuk rakyat. Tidak saya sangka, harga PAS menjadi semurah ini.
DAP terus jadi sasaran
Tuduhan Haji Hadi bahawa DAP mahu merobek Perlembagaan Persekutuan dan kononnya mahu merendahkan dan melemahkan Institusi Raja-Raja adalah dakwaan yang sangat keterlaluan dan sudah melampui batas.
PAS telah menjadi UMNO, malah kelihatan lebih buruk lagi. Ia tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang ketua yang menggunakan Islam sebagai dasar partinya. Ia kelihatan sangat hodoh sekali.
Haji Hadi kerap kali tersalah membaca politik sebagaimana kegagalan beliau ketika menjadi Menteri Besar Terangganu tahun 1999 dulu.
Inilah kelemahan dan kegagalan Presiden PAS yang tidak pernah diberitahu oleh penasihat-penasihat di sekelilingnya.
Islam yang didambakan oleh rakyat, adalah Islam yang mencakupi keseluruhannya. Kemampuan mengurus tadbir ekonomi dengan baik, kecekapan menambah pendapatan hasil negeri, kemahiran membongkar penipuan dan skandal membabitkan harta awam dan duit pembayar cukai serta keupayaan mencari jalan keluar untuk membaiki kehidupan rakyat.
Isinya kosong
Ya, ia juga sepatutnya melibatkan dosa pahala yang sering diulang-ulang oleh para penceramah PAS di depan ahli-ahlinya. Namun, jenama Islam yang dibawa PAS hanya berhenti setakat itu sahaja.
Ia sekadar yang disyarah dan ditulis dengan perkataan yang elok-elok di Facebook sedangkan isinya kosong dan kering kontang.
Perjuangan mendidik dosa pahala termasuklah bangkit melawan koruptor yang merompak hasil negara dan bukan setakat menjadi penasihat dan sekadar berpuas hati selepas hanya sejam-dua pembentangan.
Presiden PAS sudah semacam Presiden UMNO yang selalu kebingungan kenapa mereka ditolak sedang merekalah yang kononnya berjuang demi agama dan untuk bangsa.
Mereka telah cuai mengenalpasti maksud keseluruhan Islam yang di dalamnya juga termasuklah kewajipan mewakili kepentingan rakyat yang menghantar mereka ke dalam Dewan Rakyat.
Kepentingan rakyat bermaksud suara mereka diangkat ke dalam Parlimen dan bukan dengan kegagalan menghadiri sidang atau berkecuali dalam apa-apa pengundian.
Khianat perjanjian
Mengkhianati persetujuan yang dicapai seperti yang berlaku di DUN Kota Damansara dan di DUN Sungai Acheh atau mencalonkan Ahli Parlimen Gua Musang dari Umno sebagai calon perdana menteri melalui pintu belakang ketika semua bersepakat memilih Anwar Ibrahim, menyaksikan tindakan Haji Hadi bertentangan dengan apa yang diucapkan.
Memfitnah DAP dengan tuduhan yang dipungut dari kisah-kisah di jalanan atau dari mereka yang ada kecenderungan membuat fitnah, tidak ubah seperti bertanyakan arah jalan kepada mereka yang sedang sesat dalam perjalanan.
Sebagai ulamak besar, Haji Hadi wajar memeriksa dengan siapa beliau mendapat berita. Beliau boleh sahaja memeriksa sendiri dengan DAP dan bukannya membuat kesimpulan dari laporan sebelah pihak seperti yang sering dilakukan oleh TV3. Kita semua tentunya sangat takut akan dosa fitnah walaupun terhadap orang bukan Muslim.
Terhidu juga
Mendabik dada mendakwa tidak pernah disoal siasat oleh SPRM, PAS ialah seperti kanak-kanak yang memakai baju bersih dan tidak pernah keluar rumah tetapi mendakwa hanya baju dia sajalah yang putih bersih berbanding kanak-kanak lain yang bergasak berhujan berpanas bermain di luar.
PAS tidak pernah jatuh basikal kerana tidak cuba menunggangnya. Bukankah sejarah perjuangan Islam mencatatkan para pejuang melalui pelbagai mehnah dan fitnah semata-mata mempertahankan hak dan kebenaran?
PAS kini dilanda era kejatuhan. Menggunakan kad agama dan perkauman petanda lain-lain kad telah pun habis mereka gunakan.
PAS telah mula menyerupai UMNO dan Haji Hadi telah menyerupai Najib Razak. Seorang percaya hanya mereka saja mewakili Melayu dan yang seorang lagi percaya hanya mereka saja yang mewakili Islam.
Mereka menggunakan kedua-duanya untuk memeluk kuasa dan menipu rakyat, malangnya rakyat telah menghidu segala-galanya.


No comments: