Kenapa kain rentang BN dicetak di Shanghai?


Ramai orang bertanya soalan yang sama di media sosial. Kain rentang Barisan Nasional yang bersepah-sepah di merata tempat bukan sahaja membawa slogan yang aneh, bahkan menyertakan maklumat paling tidak patut bagi sebuah parti yang menjaja idea nasionalisme.
Kita semua tahu kain rentang mana yang dimaksudkan. Dengan slogan ‘Hidup Rakyat’ yang menjadi slogan demonstran pro-pembangkang setiap kali turun ke jalanraya, kain rentang ini tanpa segan silu mendedahkan siapa gerangan pencetak dan di mana ia dicetak.
Persoalan kenapa syarikat Tex-Ebo International (Shanghai) Co Ltd. mendapat keistimewaan untuk mencetak bahan kempen parti kerajaan Malaysia mungkin boleh dijawab dengan seribu satu alasan, termasuk alasan kos percetakan yang lebih rendah.
Namun jika kita mengambil kira faktor penaklukan ekonomi China ke atas tanah air melalui pintu yang dibuka luas oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak, agak sukar untuk kita mengabaikan keresahan yang mula berombak di dada.
Tambahan pula baru beberapa hari kita ditampar dengan kenyataan bahawa syarikat pembinaan China Communications Construction Company (CCCC) yang dianugerahkan projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion, telah diberikan pengecualian cukai GST oleh kerajaan United Malays National Organisation.
Maka ramailah bertanya-tanya, apa istimewanya negara komunis ini di hati Barisan Nasional yang hari demi hari menyerang DAP sebagai ‘parti Cina’ dan/atau ‘parti Komunis’.
Istimewanya syarikat-syarikat China ini dapat kita ukur dengan mengira bilangan projek-projek besar yang telah dianugerahkan kepada mereka oleh kerajaan Malaysia, atau paling tidak dengan menyukat pegagangan pelaburan China dalam projek-projek tersebut.
ECRL contohnya, yang bernilai RM55 bilion adalah jauh kecil nilainya jika dibandingkan dengan projek Forest City yang bernilai RM450 bilion. Itu belum ditambah projek Iskandar Malaysia di mana China turut melabur sejumlah RM22.2 bilion.
Menganjur ke Utara, kita turut menemukan tangan China dalam projek Melaka Gateway yang mencatat pelaburan berjumlah RM8 bilion. Sedikit ke Timur, kita temukan pula Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di Gebeng, Kuantan.
Maju ke tengah, kita berdepan pula dengan projek Bandar Malaysia, yang dibangunkan secara usaha-sama dengan syarikat China Railway Construction Engineering (CREC). Ini letaknya di Sungai Besi, menggantikan pengkalan tentera udara yang dipindahkah nun jauh ke Sendayan, Negeri Sembilan.
Semakin ke tengah, kita temukan pula projek Tun Razak Exchange.
September tahun lalu. syarikat yang sama mengelola projek ECRL mengumumkan akan membina pejabat serantaunya di sini, dinamakan CCCC Tower.
Naib Presiden CCCC, Peng Dapeng dilaporkan berkata bahawa tanah di Tun Razak Exchange telah pun dibeli, namun perincian projek tersebut belum muktamad.
“Malaysia sangat penting bagi kita. Seperti yang anda boleh lihat, nilai kontrak yang kita miliki di Malaysia adalah yang paling tinggi dalam kalangan negara Asean. Setakat ini, kita mempunyai kontrak bernilai lebih US$16 bilion (RM67.27 bilion).
“Kita percaya bahawa angka ini akan bertambah besar pada masa akan datang,” katanya dilaporkan The Star.
Ogos lalu, cawangan CCCC di Malaysia telah mendapatkan pegangan 15% dalam WCT Precious Development Sdn Bhd (WCTPD) yang terlebih dahulu telah memperolehi tanah seluas 71,986 kaki persegi di TRX daripada 1MDB Real Estate Sdn Bhd dengan harga RM223 juta.
CORE (Singapore) TRX Investment Pte Ltd, sebuah syarikat yang mempunyai kaitan kepada syarikat terkait CCCC, CCCG Real Estate Group Ltd, mempunyai pegangan 65% dalam WCTPD. Kedua-dua syarikat dimiliki China Communications Construction Group Ltd.
Komunis China sudah jadi kaum pemodal, dan mereka berada di mana-mana, terima kasih kepada United Malays National Organisation dan Barisan Nasional. Untunglah jadi syarikat China, cukai GST pun tak kena.
Mungkin sebab terbesar BN mencetak kain rentangnya di Shanghai, adalah supaya ia tidak perlu membayar cukai GST. Eh bukankah GST akan buat harga barang turun?
Cuba kita tanya syarikat percetakan di Shanghai itu, berapa kos yang dibayar Barisan Nasional untuk mencetak kain rentang dengan slogan ciplak? Boleh telefon atau hantar faks dan tanyakan sendiri kepada mereka. Kedua-dua nombor ada di kain rentang BN.


No comments: