Tiru idea ‘kerajaan DAP’ P. Pinang melucukan kata Ustaz Wan Ji kepada PAS


Di sebalik serangan PAS terhadap kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang, parti itu tidak pula teragak-agak meniru dasar yang telah dilaksanakan di negeri pimpinan Ketua Menteri, Lim Guan Eng tersebut.
PAS Pahang dalam manifestonya menawarkan pemberian bantuan kewangan sebanyak RM1,000 kepada pelajar yang berjaya menerima tawaran melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.
Namun, tindakan PAS ‘meniru’ dasar berkebajikan Pulau Pinang itu agak melucukan kata pegawai penerangan Pejabat Ketua Menteri, Ustaz Wan Ji bin Wan Hussin.
Beliau merujuk kepada kenyataan Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang, Dr Wan Maseri Wan Mohd yang dilapor Sinar Harian yang berkata, bantuan itu akan dilaksanakan sekiranya PAS berjaya memerintah negeri tersebut.
Kata Wan Ji, PAS Pahang sewajarnya perlu mendesak agar pemberian RM1,000 kepada pelajar yang ditawarkan masuk universiti ini dilaksanakan di bawah pentadbiran PAS di Kelantan terlebih dahulu.
“Ia perlu diutamakan supaya tawaran mereka di peringkat manifesto tidak diketawakan oleh pengundi mereka di Pahang nanti.
“Apa yang pasti, di peringkat kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang, pemberian bantuan kewangan sebanyak RM1,000 kepada yang mendapat tawaran masuk ke Universiti; manakala RM1,200 kepada yang melanjutkan pengajian tinggi di Sabah dan Sarawak sudah dilaksanakan,” katanya lagi. 

No comments: