Kisah pengukuhan nilai ringgit yang dicanang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanyalah helah untuk menutup kelemahan pentadbiran beliau.
Apa yang tidak diberitahu Najib, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, adalah hakikat bahawa nilai ringgit merosot sebanyak 31 peratus sejak 2013.
“Biar saya ingatkan Perdana Menteri, sejurus selepas PRU13, ringgit didagangkan pada kadar RM2.98 berbanding Dolar Amerika.
“Ini bermakna sepanjang tempoh lima tahun pentadbirannya, nilai ringgit telah menjunam sebanyak 31 peratus sehingga kini,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, adalah dangkal untuk Najib mengukur prestasinya selaku Menteri Kewangan dengan tempoh sesingkat itu.
“Perdana Menteri, yang dilabel sebagai Menteri Kewangan paling buruk di Asia pada 2015 tidak ada apa untuk dibanggakan dengan pengukuhan kecil ringgit sejak beberapa bulan lepas.
“Ini kerana beliau adalah dalang yang menyebabkan nilai ringgit jatuh sejak 5 tahun lalu,” ujarnya yang juga Setiausaha Publisiti DAP.
Pada jam 9 pagi, ringgit berada pada 3.8970/9000 berbanding dolar AS daripada penutup 3.9135/9165 pada Selasa.
Menurut Tony, prestasi ringgit kian menurun sejak skandal 1MDB mendapat perhatian dunia.
“Jangan kita lupa dengan situasi di mana hilangnya rasa percaya pelabur selepas skandal 1MDB meletus dan membuka wajah sebenar Najib sebagai kleptokrat terbesar dunia.
“Ringgit mencecah nilai RM4 pada 2015, ketika berita mengenai 1MDB menghiasi tajuk-tajuk utama media antarabangsa,” ujarnya.
Semakin menghampiri PRU14, kata Tony, Najib semakin rancak memanipulasi fakta semata-mata untuk mengekalkan kuasanya.
“Satu-satunya cara untuk memulihkan kepimpinan negara adalah untuk memastikan bahawa Malaysia tidak lagi dilihat sinonim dengan kleptokrasi.
“Sudah tiba masanya untuk negara melaksanakan dasar ekonomi yang bersih, telus dan berdaya saing untuk membina keyakinan pelabur tempatan dan asing,” ujarnya.