SUARA HATI RAFIZI SETELAH DIJATUHI HUKUMAN PENJARA 30 BULAN DAN BAGAIMANA KITA MAMPU MENGUBAH NASIBNYA



Anda mungkin kenal saya. Nama saya Rafizi, umur 40 tahun. Seperti juga anda, saya ada anak, isteri dan mak ayah.

Sebentar tadi, pada hari ini, 7 Februari 2018, hakim Zamri Bakar telah mendapati saya bersalah dalam kes NFC.

Saya dijatuhi hukuman penjara 2.5 tahun. Bersama dengan hukuman penjara 1.5 tahun kes OSA, saya kini berdepan penjara 4 tahun.

Saya dituduh mendedahkan maklumat bank keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil dan syarikat-syarikat milik mereka.

Saya ada 13 kes mahkamah yang sedang berjalan, tetapi kes NFC inilah yang memulakan segala-galanya. NFC adalah skandal pertama yang saya dedahkan. Sekarang semua orang tahu mengenai lembu dan kondo, bila mana sebahagian besar dari RM250 juta dana awam yang sepatutnya sampai untuk penternak miskin, akhirnya digunakan untuk membeli kondominium mewah dan membiayai perniagaan lain.

Kes ini telah berlalu 6 tahun, sebahagian besar dari rakyat telah pun melupakannya. Begitulah sifat kita – kita mudah lupa.

Dalam setiap skandal penyelewengan, ada orang yang tidak akan lupa kerana mereka menanggung kesannya. Mereka menjadi mangsa bila masyarakat membiarkan rasuah berleluasa.

Ketidakadilan yang berlaku adalah nyata – saya tidak mengambil satu sen pun duit rakyat, tetapi saya dan kerana bank yang menghabiskan banyak masa di dalam kandang tertuduh.

Tidak ada seorang pun dari mereka yang terlibat dengan skandal NFC yang dihadapkan ke muka pengadilan. Yang kena dakwa adalah saya dan abang Johari, bukannya mereka.

Jutaan lagi rakyat Malaysia turut menanggung beban bila kegagalan NFC tidak dihukum. Harga daging lembu semakin mahal dan kebelakangan ini banyak keluarga tidak mampu pun untuk menikmati daging lembu.

Dana awam RM250 juta sebahagian besarnya hilang begitu saja.

Saya telah jalankan amanah saya. Saya tidak menyesal sedikit pun.
Saya pasrah dan apa pun hukuman yang telah dan akan dijatuhkan ke atas saya, saya dan keluarga saya akan redha dan menerimanya dengan baik. Kami tenang kerana kami tahu kami telah menjalankan amanah kami.

Jika anda ada sedikit rasa marah dan kecewa kerana ketidakadilan ini berlaku, maksudnya anda peduli. Anda benci dengan ketidakadilan yang berlaku di sekeliling anda.

Janganlah biarkan rasa marah dan kecewa itu padam secepat ia datang.

Perubahan bermula dengan kita.

Saya tidak perlukan simpati dari sesiapa, ini pilihan yang saya buat.

Cuma saya nasihatkan anda turut memilih untuk bertindak, kerana apabila kita sama-sama peduli dan bertindak, kita boleh mengubah keadaan masyarakat.

Saya perlukan anda menjadi sukarelawan. Saya perlukan sumbangan anda membantu biayaramai (crowdfunding) supaya lebih ramai boleh bertindak bila ketidakadilan berlaku.

Saya dahulu bermula begitu. Saya tidak boleh menafikan naluri bahawa skandal NFC itu satu penyelewengan dan ketidakadilan yang nyata.

Saya akan keluar tidak lama lagi.

Sementara itu, mari kita berganding bahu untuk menghentikan semua ketidakadilan ini.

Paling penting, anda perlu menjadi sukarelawan untuk membantu menumpaskan Dato’ Seri Najib dalam pilihanraya akan datang.

Rafizi Ramli
Ahli Parlimen Pandan.

Ulasan - Meskipun dihukum penjara selama 30 bulan, hukuman itu dibenarkan untuk penangguhan sehingga proses rayuan yang berikutnya. Ada kemungkinan proses rayuan beliau hanya akan bermula selepas PRU 14 diadakan.

Bermakna, Rafizi masih lagi seorang yang bebas untuk tempoh beberapa bulan, malah mungkin beberapa tahun akan datang.

Memang benar Rafizi tidak boleh bertanding dalam PRU 14 akan datang, tetapi dengan masih bebasnya beliau bermakna Rafizi boleh menghabiskan banyak masanya berkempen bagi membantu Pakatan Harapan memenangi pilihanraya akan datang.

Jika kita simpati kepada beliau dan benci dengan ketidakadilan yang menimpanya, PRU 14 akan medan untuk rakyat membuktikannya di kotak undi.

Buktikan melalui nasib yang menimpa Rafizi berikutan pendedahannya berkaitan skandal NFC dengan memberi kemenangan besar kepada Pakatan Harapan dan tumbangnya Najib, UMNO serta BN daripada puncak kuasa.

Dengan Pakatan Harapan dapat membentuk kerajaan, nasib dan ketidakadilan terhadap Rafizi mungkin boleh berubah dan akan menjadi lebih baik. 

Akhirnya, kita sebagai pengundilah yang mampu mengubah negara ini menjadi lebih baik serta adil untuk semua orang. (ShahbudinHusin 07/02/2018).

No comments: