Malaysia perlu laksana sekatan perdagangan tekan Myanmar henti penindasan


Wan Azizah Wan Ismail
Kerajaan perlu memberi tekanan lebih kuat terhadap Myanmar dengan mengenakan sekatan perdagangan ke atas barangan pengguna dan bahan bakar, kata Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau berkata, pada masa sama negara-negara ASEAN perlu memainkan peranan yang lebih proaktif.
"Sehingga hari ini, 270,000 orang etnik Rohingya telah dilaporkan melarikan diri dari wilayah Rakhine di Myanmar ke Bangladesh. Media antarabangsa turut melaporkan bahawa kebanyakan kampung-kampung etnik Rohingya yang telah diserang askar Myanmar di wilayah Rakhine menampakkan kesan-kesan "pembunuhan etnik" (ethnic cleansing).
"Jelas Yangon tidak mengendahkan sebarang saranan dan kecaman dari seluruh masyarakat antarabangsa untuk mencari jalan penyelesaian kepada isu Rohingya, malah terus angkuh menindas dan menzalimi kumpulan etnik tersebut.
"Pemenang anugerah Nobel, Aung San Suu Kyi, juga gagal menunjukkan keprihatinan dan simpati terhadap etnik Rohingya dalam krisis kemanusiaan ini," ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Justeru katanya, Putrajaya pada ketika ini memilih retorik dan turut gagal mencadangkan strategi penyelesaian konflik yang adil dan menyeluruh.
"Tiada makna wujudnya satu kesepakatan ekonomi serantau seperti AEC sekiranya negara-negara anggota dibiarkan bertindak menzalimi warga di wilayah sendiri, terutama apabila kezaliman tersebut mungkin mendatangkan kesan negatif kepada seluruh rantau ASEAN dengan radikalisasi dan ekstremisme kelompok-kelompok tertentu," ujarnya.

MD