Selepas Kedah, Kit Siang ramal Perak milik PH
Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yakin Pakatan Harapan (PH) boleh merampas balik kerajaan negeri Perak daripada Barisan Nasional (BN) meskipun kemungkinan berlaku persaingan 3 penjuru membabitkan PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ahli Parlimen Gelang Patah ini berkata dengan PAS memainkan peranan sebagai “perosak” dan harapan agar peningkatan sokongan Melayu kepada PH adalah sebanyak 10% dan 5% lagi daripada bukan Melayu, barisan pembangkang itu boleh memenangi 39 kerusi Dewan Undangan Negeri di Perak.
Kata Kit Siang, dalam senario sedemikian BN akan mendapat 20 manakala PAS tiada kerusi.
“Perak akan menjadi salah 1 kerajaan negeri yang akan jatuh ke tangan Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang,” kata beliau.
Bagaimanapun menurut Kit Siang, bukan 1 tugas mudah untuk membawa perubahan seperti apa yang dicapai oleh BN pada pilihan raya umum 2013 apabila ia berjaya mempertahankan negeri itu.
“Tetapi semua rakyat Malaysia patriotik, tanpa mengira bangsa, agama, rantau atau politik, mesti bersatu untuk ‘Menyalamatkan Malaysia’ daripada menjadi negara yang gagal demi anak-anak kita,” kata beliau dalam ucapannya pada perhimpunan PH di Parit Buntar, Perak malam tadi.
Beliau berkata pilihan raya umum 2013 telah menyaksikan “ketidakadilan” di mana parti-parti dari pakatan pembangkang ketika itu, Pakatan Rakyat (PR), memenangi 55% undi popular di Perak.
Bagaimanapun, BN terus membentuk kerajaan negeri kerana memenangi 31 kerusi DUN berbanding 28 kerusi di pihak DAP, PKR dan PAS yang menganggotai PR, kata beliau.
Beliau juga berkata PR ditewaskan di 4 kerusi dengan kurang daripada 303 undi iaitu Lubuk Merbau di mana kurang 53 undi, Manjoi (132), Manong (231) dan Pasir Panjang (302).
Kit Siang berkata, kemenangan PH tidak mustahil kerana situasi politik negara ini telah mengalami perubahan besar dengan keanggotaan 4 parti dalam PH iaitu DAP, PKR, Amanah dan PPBM yang bertindak bersama selepas pengumuman struktur gabungan, logo dan kepimpinan baharu pada 14 Julai lalu.
“Amaran polis baru-baru ini Negara Islam (IS) merancang untuk melancarkan serangan di Perak semasa perayaan sambutan merdeka dan perisytiharan baru-baru ini oleh ulama dan ahli akademik Islam antarabangsa Malaysia tidak lagi negara yang sederhana adalah perkembangan yang mengganggu masa depan kecuali isyarat-isyarat ini diambil serius oleh semua rakyat Malaysia yang patriotik,” katanya.
Parti komponen PR menguasai Perak pada pilihan raya umum 2008 tetapi kerajaan negeri diambil alih oleh BN pada Februari 2009 selepas 3 wakil PR berpaling untuk menjadi calon bebas menyokong BN, sekali gus membolehkan BN menuntut majoriti di Dewan Undangan Negeri.
Kit Siang juga mengulangi kemungkinan PH boleh memenangi 113 kerusi Parlimen di Semenanjung dengan bantuan “tsunami Malaysia” terhadap pemerintahan persekutuan BN selama 60 tahun.
Semalam beliau berkata, beliau yakin DAP mampu membantu PH menawan semula Kedah jika parti itu bertanding di Kulim dan Gurun dalam PRU14.
Kata beliau, sekiranya PH dan BN berhadapan dengan situasi kemungkinan terikat 18:18 kerusi Dewan Undangan Negeri di Kedah, DAP boleh membawa kemenangan kepada barisan pembangkang jika parti itu bertanding di kedua-dua kawasan terbabit.
Dewan Unangan Negeri Kedah mempunyai 36 kerusi. Pada PRU13 BN menguasai 21 kerusi manakala PAS 9, PKR (4) dana DAP (2). –