Peruntukan RM8 juta di pedalaman Sabah sekadar ‘gula-gula politik’ – Adrian Lasimbang


PENSIANGAN, 22 OGOS: Pemberian peruntukan RM8 juta yang diumum Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman kepada empat daerah iaitu Tenom, Pensiangan, Keningau dan Ranau tidak lebih daripada ‘gula-gula politik’ menjelang pilihan raya kata Penyelaras DAP Pensiangan, Adrian Lasimbang.
Beliau berkata demikian mengulas pengumuman Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman kelmarin yang berkata peruntukan bernilai RM8 juta tersebut telah diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mana setiap bahagian bakal menerima RM2 juta.
Menurut Adrian, peruntukan RM2 juta kepada kawasan Pensiangan adalah imbuhan untuk mengaburi mata pengundi yang bakal mengundi pada pilihan raya yang akan tiba tidak lama lagi.
“(BN) Tidur selama empat tahun, sekarang ia bangun cuma tinggal berberapa bulan sahaja sebelum pilihan raya untuk menghambur gula-gula, dengan harapan masih terus dapat memperbodohkan orang-orang kampung pedalaman dengan pemberian peruntukan RM2 juta, inilah politik UMNO dan BN,” katanya.
Tindak-tanduk BN itu ujarnya sudah menjadi tradisi setiap kali menjelang musim pilihan raya.
Apa yang menyedihkan, selepas menabur ‘gula-gula politik’, rakyat dibiarkan terabai untuk tempoh empat tahun lagi dengan pelbagai masalah melibatkan infrastruktur kemudahan asas, pendidikan, kemiskinan dan sebagainya seperti yang berlaku di Pensiangan.
Adrian yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Sabah turut mempertikaikan pemberian dana tersebut di mana daerah Nabawan tidak tersenerai sebagai penerima peruntukan.
Beliau masa yang sama melahirkan rasa kecewanya apabila Najib, sebagai orang nombor satu negara ini tidak hadir untuk melihat dengan sendiri kemunduran dan kepayahan rakyat di Nabawan dan Pensiangan.

No comments: