Pakatan Harapan Johor akan cabar semua kerusi Umno-BN


 PH Johor PC 2
Pakatan Harapan (PH) Johor sudah pun bersiap siaga untuk merampas negeri Johor dengan mencabar semua kerusi Umno-BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
Dalam sidang media diadakan di ibupejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Taman Kempas Utama Johor, hari ini,  Pengerusi Bersatu Muhyiddin Yassin berkata PH Johor berpendapat situasi dan keadaan di Johor sudah sampai ke tahap matang untuk PH ambil alih negeri itu daripada kepimpinan Umno-BN.
"Ini berdasarkan fakta data tinjauan yang telah dibuat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
"Stratgegi PH Johor menawan Johor daripada Umno-BN untuk mengerakkan jentera parti di semua peringkat di bawah Tuan Salahuddin, untuk menyusun dengan strategi tepat dan ingin tentukan persiapan PRU disetiap kawasan Parlimen dan Dun.
"Kesemua kerusi akan dicabar terutama kerusi di  BN.
"Kita mahu persiapan sampai ke PDM (Pusat Daerah Mengundi) dalam kerangka yang diputuskan oleh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya). Jentera parti diperingkat akar umbi di bilik gerakan sudah disediakan bagi meninjau tahap kesiap siagaan setiap parti iperingkat negeri Johor," ujarnya.
Muhyiddin turut berkata, proses rundingan kerusi PH di negeri itu sudahpun dimulakan di peringkat Parlimen dan sebahagiannya sudah diputuskan dan akan mula berunding bagi kerusi Dun di negeri itu.
"Hari ini (mesyuarat hari ini) kita ada bincang untuk segerakan perundingan itu (pembahagian kerusi Dun) untuk memudahkan parti beri perhatian di kawasan berkenaan.
"Secara rasmi sudah diputuskan dan menunggu di bawa rundingan di peringkat nasional.Jika ada pertindihan antara parti kita akan selesaikan bersama.
"Semangat yang kita mahu wujudkan dalam perbincangan adalah persefahaman
"Saya fikir keputusan muktamad akan dibuat pucuk pimpinan PH di peringkat pusat dan pimpinan parti yang ada untuk menentukan siapa yang akan mengepalai negeri ini kelak," ujarnya yang menolak tanggapan bahawa berkemungkinan beliau akan memimpin negeri itu sekiranya PH menang PRU akan datang.
J/K PH Johor dibentuk:  Muhyiddin dilantik Pengerusi, Salahuddin Pengarah Pilihan Raya
Hari ini diadakan mesyuarat pertama Pakatan Harapan Negeri Johor  yang turut mengumumkan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Johor dan Salahuddin Ayub dilantik Timbalan Pengerusi Negeri dan Pengarah Pilihan Raya Negeri manakala Timbalan Pengarah Pilihan Raya dilantik Ir Mad Nasir Hashim dari Bersatu.
Setiap parti gabungan telah melantik tiga wakil untuk berada dalam jawatankuasa di peringkat negeri.
Bagi jawatan Setiausaha Pakatan Harapan dilantik Datuk Osman Sapian (Bersatu) dan Bendahari Gan Tek Cheng (DAP).
Manakala empat Jawatankuasa Biro juga turut dibentuk dalam Pakatan Harapan membabitkan Biro Penerangan dan Mobilasi dilantik Suhaizan Kaiat (Amanah); Biro Tawaran dan Dasar Dr Rama Krishnan (DAP); Biro Perpaduan Kuzan Abu Bakar(PKR); Biro Guaman Jimmy Puah (PKR); Biro Eonomi dan Pembangunan Mazlan Bujang (Bersatu).
Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub dalam sidang media sama turut berkata, pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi PH Negeri adalah keputusan konsensus parti dalam PH.
"Pemilihan Tan sri sebagai Pengerusi PH dibuat secara konsensus maknanya bukan majoriti.Saya katakan di Johor betapa kami dalam AMANAH DAP PKR dan PPBM serius di dalam membina kekuatan PH di Johor.
"Tiada sebarang 'distribute' dalam pemilihan Tan Sri. Rakyat Johor memberi isyarat jelas bahawa inilah pimpinan parti yang akan berjuang untuk rakyat negeri johor sebagai suatu keyakinan kita terhadap apa yang kita tawarkan kepada rakyat Johor kali ini.
"Kita boleh berubah dan kita ada barisan kepimpinan yang bila-bila masa boleh ambil alih kuasa Umno-BN," ujarnya.
Bagi Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong pula berkata, beliau mengalu-alukan pelantikan Muhyiddin dan Salahuddin dalam barisan kepimpinan PH di Johor untuk memastikan jentera pilihan raya berjalan lancar di setipa peringkat.
"Kami alukan Tan Sri Muhyiddin dan juga Salahuddin sebagai tokoh nasional. Mereka akan membantu Johor dan menjadikan Johor medan pertarungan penting dalam PRU untuk menang dan menawan Putrajaya.
"Kami perlu memenangi sebanyak mungkin kerusi Parlimen di Johor dan kedua tokoh ini sangat menyumbang membantu ke arah itu," ujarnya.