SAIFUDDIN TELAH LAMA MERAMALKAN TENTANG APA YANG AKAN BERLAKU KEPADA ISA SAMAD
Pantas dan cekap, barangkali itulah ungkapan paling tepat untuk menggambarkan mengenai tindakan SPRM terhadap kemelut yang melanda Felda Global Ventures Holding atau FGV ketika ini.
Baru semalam CEO FGV, Zakaria Arshad diarahkan bercuti sementara untuk berdepan siasatan dalaman sebagaimana yang diumumkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah syarikat itu, Isa Samad dan kemudian Zakaria pantas bertindak balas dengan mahukan SPRM menyiasat keseluruhan perjalanan urusniaga FGV, tidak sampai 24 jam agensi penguatkuasa anti rasuah itu sudah pun memulakan tindakannya.
Menurut laporan media, Zakaria dan Isa akan hadir secara berasingan ke pejabat SPRM di Putrajaya petang ini (semalam) untuk diambil keterangan mereka.
Zakaria dijadualkan hadir memberi keterangan pada jam 2.30 petang, manakala Isa pada jam 5.00 petang.
Dengan ini bermakna, belum pun audit dalaman FGV memulakan penyiasatannya terhadap Zakaria, beliau telah terlebih dahulu berjaya mengheret Isa ke dalam penyiasatan SPRM yang dilaporkannya.
Sudah tentu kehadiran Zakaria lebih dulu ke pejabat SPRM ialah untuk diambil keterangannya berkaitan salah laku Isa sepanjang beliau menjadi Pengerusi FGV, manakala kedatangan Isa pula ialah lebih untuk dilihat bagaimana jawapannya terhadap maklumat-maklumat yang sudah sedia ada di tangan SPRM itu.
Ini berikutan semalam juga Zakaria ada memberitahu beliau sebelum ini cuba menghentikan beberapa pelaburan yang tidak masuk akal yang cuba dibuat oleh FGV.
Dalam keadaan ini, dari segi moralnya Isa sudah pun kalah di tangan Zakaria kerana beliau perlu mengadap SPRM lebih dulu berbanding lawannya itu yang belum lagi berdepan dengan audit dalaman.
Lebih memburukkan lagi moral Isa ialah, sehingga ini belum ada mana-mana pihak yang tampil mempertahankan tindakannya terhadap Zakaria.
Bukan saja semua parti-parti pembangkang bagaikan sepakat berdiri teguh bersama Zakaria, kelompok dalam UMNO sendiri selain lebih ramai yang mendiamkan diri, yang bersuara pula tampak menekan dan mahukan Isa mengundurkan diri secara baik daripada FGV.
Begitu juga dengan pemain media sosial yang selama ini diketahui pro UMNO, Najib dan kerajaan, tidak ternampak yang tampil bersuara menyokong, mempertahan serta berdiri teguh di belakang Isa.
Isa seolah-olah tiada penyokong dan hanya bersendirian menghadapi kemelut dalam FGV ini.
Kenapa ini berlaku?
Apakah Isa tidak disenangi oleh UMNO sendiri atau terdapat isyarat tidak baik daripada Putrajaya yang tidak lagi memihak kepadanya?
Apakah kesalahan-kesalahan Isa, jika ada, di dalam FGV terlalu sukar untuk dipertahankan sehingga tidak ada mana-mana pihak dalam UMNO yang sudi tampil untuk membela dan mempertahankannya?
Dan adakah dengan adanya siasatan segera lagi pantas oleh SPRM ini menandakan hari-hari terakhir Isa di FGV sudah semakin hampir?
Apa pula pilihan terbaik bagi Isa?
Mahu tidak mahu, Isa sebenarnya mempunyai pilihan yang semakin terhad untuk dirinya. Berkeras untuk melawan hanya mendedahkan lagi dirinya kepada pelbagai kemungkinan yang tidak diingini.
Selain cakap-cakap yang berterusan mengenai penglibatan ahli keluarganya yang tertentu dalam perniagaan di Felda dan FGV sejak dulu, jika kita masih ingat, anak beliau sendiri, Najib Isa pernah diambil keterangannya oleh SPRM pada 2015 lalu berhubung pembelian hotel oleh Felda yang bernilai ratusan juta ringgit di London.
Sumber-sumber lain yang mengetahui pula berkata, terdapat juga ahli keluarga isterinya terlibat sama dalam beberapa perniagaan dengan Felda dan FGV selama ini.
Bermakna, jika Isa cuba bertahan dan berkeras dalam kemelut yang ada ini, beliau bukan saja mendedahkan dirinya kepada pelbagai kemungkinan, tetapi juga mungkin masa depan anaknya yang merupakan Exco Pemuda UMNO dan ahli keluarga isterinya kepada penyiasatan, dan tidak mustahil tindakan oleh pihak SPRM.
Pastinya penyiasatan SPRM yang menyeluruh akan menyelongkar segala kecurangan urusniaga yang pernah berlaku selama ini di Felda dan juga FGV.
Maka, berundur dan meletakkan jawatan adalah pilihan terbaik bagi Isa. (ShahbudinHusin 07/06/2017).