Rakyat Malaysia beri Idris Jala dua minggu selesaikan kemelut FGVH – Tony Pua



KUALA LUMPUR, 8 JUN: DAP mengalu-alukan pelantikan Datuk Seri Idris Jala sebagai “pihak bebas” bagi menyelesaikan kemelut Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) dengan menyarankan beliau menyemak amalan pentadbiran korporat syarikat terbabit sebagai langkah awal.
Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua berkata, Idris harus menyiasat dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FGVH, Datuk Zakaria Arshad berhubung tindakan ahli lembaga pengarah meluluskan pelaburan “tidak masuk akal” dengan mengenepikan pandangan jawatankuasa eksekutif.
“Masalahnya ialah tidak ada seorang pun daripada ahli lembaga pengarah, selain CEO ada tugas ‘eksekutif’. Ini bermakna mereka (ahli lembaga pengarah) tidak boleh membawa sebarang ‘pelaburan’ secara terus kepada lembaga pengarah untuk diluluskan.
“Selain Pengarah Bebas, Tan Sri Isa Samad dan tiga lagi pengarah bukan eksekutif harus menjelaskan kuasa apa yang ada pada mereka untuk mengarahkan FGVH melakukan transaksi terus yang mana telah ditolak oleh pengerusi jawatankuasa eksekutif (exco)?” soalnya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria dilaporkan media berkata beliau diketepikan dalam membuat keputusan dalam pelaburan Felda Cambridge Nanosystems Ltd yang kini sedang mencari RM550 juta untuk mengembangkan operasinya selepas kerugian RM117 juta dalam tempoh empat tahun.
Selain itu, beliau yang kini digantung tugas oleh ahli lembaga pengarah FGVH juga mendakwa telah membantah untuk membayar RM300 juta untuk 30 peratus pegangan dalam sebuah kilang krimer di Klang yang dianggap sebagai bukan peniagaan teras syarikat perladangan tersebut.
Ia, kata Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, membangkitkan persoalan mengenai siapa sebenarnya yang menjalankan operasi FGVH, ahli lembaga pengarah atau jawatankuasa eksekutif.
Ini kerana, menurutnya, sebarang cadangan transaksi haruslah diteliti terlebih dahulu oleh exco untuk dibawa kepada ahli lembaga pengarah bagi mendapatkan sebarang keputusan.
“Bukanlah bidang tugas ahli lembaga pengarah, malahan pengerusi bukan eksekutif, untuk mencadangkan sesuatu transaksi kepada ahli lembaga pengarah untuk diluluskan, lebih-lebih lagi jika ia telah ditolak (lebih awal) oleh exco.
“Jika pengarah bukan eksekutif FGVH gagal menjalankan tanggungjawab fidusiari, maka mereka seharusnya dicadangkan supaya melepaskan jawatan,” ujarnya.
Kata Tony, Idris – sebagai bekas ahli kabinet yang menyokong kebertanggungjawaban dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) – harus menyiasat dengan serius dakwaan Zakaria dan mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar kod pentadbiran korporat.
“Rakyat Malaysia menggesa Datuk Seri Idris Jala melengkapkan siasatannya dalam tempoh dua minggu bagi memastikan kemelut dalam FGVH yang mana disenaraikan di Bursa Malaysia dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

No comments: