Najib mesti jawab RM700 juta 1MDB ‘tersembunyi’ di mana? – Muhyiddin
Tan Sri Muhyiddin Yassin mengkritik keras terhadap pemimpin Umno yang menjadi suruhan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang tidak pernah memberikan jawapan yang betul berhubung syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bekas timbalan perdana menteri itu mendesak supaya Najib sendiri memberikan penjelasan kemana wang RM700 juta hilang yang dikatakan masuk ke syarikat Good Star Limited.
“Beliau suruh pencacai jawab, tak pernah beri jawapan yang betul… RM700 juta ke mana tak pernah dijawab,” kata Muhyiddin dihadapan kira-kira ribuan ahli Umno di Johor Bharu dalam satu ceramah semalam.
1MDB dikatakan menyalurkan sejumlah RM700 juta kepada firma Good Star Ltd, yang mempunyai kaitan dengan seorang ahli perniagaan kontroversi Jho Low.
Malah dalam laporan Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) juga terdapat pendedahan mengenai Good Star Ltd tapi dipadamkan oleh Pengerusinya, Datuk Hasan Ariffin tanpa pengetahuan ahli-ahli lain.
Hasan mengakui mengenai tindakan memadamkan kenyataan berhubung Good Star dan mempertahankan tindakannya.
Muhyiddin juga mendedahkan transaksi dibuat ketika Tan Sri Mohd Bakke Salleh menjadi pengerusi 1MDB dan urusniaga dengan Good Star Ltd tersebut ada dicatatkan dalam minit mesyuarat.
“Saya menerima maklumat sahih daripada Bank Negara, syarikat Good Star ini pada awalnya dikatakan syarikat milik 1MDB tapi bukan sebenarnya milik mereka, ia adalah milik Jho Low.
“Ia sebuah syarikat tidak ada kaitan dengan 1MDB, Tan Sri Bakke letak jawatan dan dalam minit mesyuarat semasa beliau jadi pengerusi ada menyatakan arahan disuruh bawa balik RM700 juta, tapi tidak tahu ke mana wang itu,” katanya.
Muhyiddin juga mempersoalkan individu yang bertanggungjawab meluluskan pembayaran RM700 juta dan mengganggap mustahil ia diluluskan oleh lembaga pengarah jika tanpa campur tangan Najib selaku orang penting dalam syarikat itu.
“Tak mungkin CEO boleh bayar, atau board of director (Lembaga Pengarah) kecuali jika Najib yang luluskan,” katanya.