‘Bagi Najib duit itu raja, dia boleh buat apa saja’ – Tun Mahathir
Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan kritikan ke atas pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kali menggelarnya sebagai seorang penyembah duit kerana mengamalkan budaya politik “cash is king” (duit adalah raja).
Dr Mahathir tampil di bahagian Umno Kubang Pasu yang disandangnya selama 22 tahun dan disambut dengan meriah ribuan orang ramai yang hadir bagi mendengar ceramah di sebuah dewan di Napoh, kawasan parlimen Kubang Pasu pada 29 April lalu.
“Bagi Najib duit itu raja, Najib sembah duit.
“Dia percaya dengan duit dia boleh buat apa sahaja dan rakyat akan sokong dia,” kata Dr Mahathir yang mendapat tepukan orang ramai.
Dr Mahathir berkata parti Umno kini berfungsi untuk mempertahankan kedudukan Najib lagi dan pemimpin atasan semua ditutup mulut dengan sogokan dedak supaya menyokong Najib walaupun kesalahan yang dilakukan sudah terbukti.
“Parti Umno ini sekarang bergerak untuk pertahankan presiden sahaja.
“Pemimpin Umno nampak dan tahu presiden buat benda salah tapi mereka bisu, mereka ini sudah disuap dedak (sogokan) dalam mulut,” katanya.
Membandingkan semasa zaman pentadbirannya, Dr Mahathir berkata Umno kini sudah tidak demokratik dan ini berbeza semasa zamannya dimana beliau tidak pernah menyekat orang yang menentangnya seperti yang dilakukan oleh Najib yang memecat dan menggantung individu yang menenetangnya.
“Sekarang Umno sudah berubah menjadi tidak lagi demokratik dan Umno bertugas untuk menyokonf Najib sebagai presiden semata-mata.
“Tugas pemimpin Umno hanya menyokong Najib, tugas mereka tidak lagi berkenaan dengan bangsa, agama dan negara,” katanya.
Dr Mahathir mengimbau kembali semasa ditentang Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Musa Hitam bersama pemimpin Umno lain dimana beliau memberikan ruang kepada mereka untuk berkempen dan bersikap terbuka menerima kritikan.
Menurut Dr Mahathir, Najib tidak pernah belajar daripada kesilapan dengan beranggapan wang dapat membeli sokongan rakyat walaupun keputusan Pilihan Raya 2013 lalu menyaksikan kerusi dimenangi oleh beliau berkurangan meskipun berbelanja besar.
“Masa PRU13, prestasi Najib lagi buruk daripada Pak Lah (Tun Abdulllah Ahmad Badawi), dia bagi duit tapi orang tidak sokong juga.
“Tapi dia masih percaya ‘cash is king’,” katanya.
Dr Mahathir menarik sokongan kepada Najib, menyerang skandal kewangan syarikat pelaburan Malaysia Development Berhad (1MDB) yang hilang berbilion dan berhubung wang derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib.