Teori yang menyatakan negara akan menghadapi kemelesetan ekonomi tidak boleh dipandang sepi ketika sektor perniagaan mula berdepan dengan kekurangan jualan dan penutupan semakin banyak perniagaan sejak Januari lalu.
Seorang usahawan hartanah di Kuala Lumpur ketika ditemu bual tidak menolak jangkaan kemungkinan ekonomi negara akan meleset pada hujung 2016. Namun beliau yang enggan namanya disiarkan berkata, kerajaan kelihatan lewat untuk mengumumkan langkah konkrit bagi menangani masalah tersebut.
“Kita ambil contoh sebuah kedai buku terpaksa menutup cawangan utamanya disebabkan oleh kemerosotan angka jualan. Situasi yang sama telah juga menyebabkan sebuah rangkaian kedai emas menutup beberapa buah cawangannya.
“Selain dari itu, sebuah syarikat yang telah lama berkecimpung dalam industri fesyen dan barangan perhiasan rumah pun telah mengalami kejatuhan harga sahamnya, yang kini berada dibawah harga RM1. Ini petanda ekonomi sedang menuju ke arah yang tidak baik,” katanya.
Katanya lagi, restoran-restoran mahal juga kini kekurangan pelanggan, terutama pada waktu makan malam. Selain itu, banyak gedung membeli-belah kekurangan jualan.
“Hanya bahagian pasaraya yang menjual barang runcit dan keperluan harian sahaja yang aktif. Kedai kasut dan pakaian kebanyakannya tidak dikunjungi pembeli,” katanya lagi.
Beliau berkata, hanya ada satu cara mudah sekiranya kerajaan ingin mengurangkan impak kegawatan ekonomi iaitu mengurangkan kadar Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST – Goods & Services Tax) kepada 3%.
“Hanya dengan cara itu dapat meningkatkan kembali perbelanjaan pengguna dan menaikkan jualan.
“Jika tidak kilang yang mengeluarkan produk berjangka hayat lama, misalnya perabot dan peralatan rumah akan mengalami penurunan angka jualan. Pinjaman bank pula bukan mudah diperolehi. Ekonomi akan bertambah lemah,” keluhnya.