KERIAN, 13 FEB: Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen mempersoal mengenai peruntukan pembangunan bagi Projek Kecil Luar Bandar (MRP) untuk penduduk di negeri ini berikutan ia seolah-olah hilang.
“Pada 2015, sebanyak RM900 juta diperuntuk bagi MRP. Setiap DUN mendapat sekitar RM15 juta. Misalnya di kawasan Kedup ada 100 kampung, setiap kampung atau JKKK sepatutnya dapat RM150,000. Ini bukan isunya, soalnya ke mana semua dana itu pergi?” katanya.
Ahli Parlimen Bandar Kuching itu berkata, perkara itu sudah dibangkit pada peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tetapi gagal dijawab, malah DAP pula dituduh sebagai menghalang pembangunan luar bandar.
“Bila DAP ajukan pada sidang DUN, Ketua Menteri tak mahu jawab dan cuba alihkan isu ini menuduh kita pula menentang pembangunan luar bandar,” katanya pada pelancaran Jentera Pilihan Raya DUN Kedup dan Bukit Kemuja di Kampung Sungai Empani, baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Sentosa itu juga menempelak kerajaan BN yang mementingkan syarikat kroni dengan membiarkan rakyat berhadapan dengan bebanan akibat kadar inflasi yang tinggi.
“Tidak kira harga minyak dunia meningkat atau turun, hakikatnya rakyat tetap susah. Bila harga minyak naik, kroni dapat untung besar. Bila harga turun, rakyat tetap susah kerana inflasi tinggi.
“Hakikatnya, tidak kira apa sahaja kebaikan yang konon dibawa BN, kehidupan rakyat tetap teruk terjejas akibat dasar BN. Aktiviti perniagaan semakin lembap manakala golongan pekerja terpaksa menanggung beban kenaikan kos hidup,” katanya
Beliau juga menyarankan rakyat Sarawak supaya melakukan perubahan dengan meluahkan kekecewaan mereka melalui kertas undi akibat kenaikan kos hidup berikutan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Katanya, perubahan yang dilakukan dalam pilihan raya negeri Sarawak yang dijangka April hadapan akan mengukuhkan lagi kedudukan blok pembangkang yang menjadi asas kepada perubahan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
“Kita perlu hantar mesej yang jelas kepada BN betapa kita membantah GST. Inilah buat pertama kali rakyat negeri ini boleh meluahkan kekecewaan mereka terhadap pelaksanaan GST dalam pilihan raya negeri akan datang kepada Barisan Nasional (BN).
“Inilah juga masanya kita mengukuhkan kedudukan kita dan meletakkan asas kepada perubahan dalam pilihan raya akan datang,” katanya.