Jika gagal bayar hutang negara RM627.5 bilion, dana dalam KWSP lebur?


KWSP1
PERAK 20 DIS: Simpanan hari tua dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mungkin ‘lebur’ jika Kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal menjelaskan hutang tertunggak yang ditanggung negara.
Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham membuat pendedahan itu dengan merujuk maklum balas Menteri Kewangan yang menyenaraikan KWSP sebagai antara pemiutang.
“Wang yang dipinjamkan KWSP adalah wang rakyat, rakyat bakal alami kerugian besar jika Kerajaan BN gagal lunaskan hutang itu,” katanya pada kenyataan media, hari ini.
Malaysia menangung hutang RM627.5 bilion dengan 97 peratus daripadanya hutang domestik dan selebihnya iaitu tiga peratus hutang asing bernilai RM18.80 bilion.
Tidak menolak kemungkinan negara menuju muflis, beliau berkata tindakan mencetak wang bagi membayar hutang berkenaan pula dikhuatiri mencetuskan masalah lain.
“Kita tidak mahu jadi Zimbabwe. Suatu masa dulu maju dan mencetak wang sesuka hati tetapi kini tidak bernilai langsung,” katanya dan menambah mata wang negara itu satu-satunya tidak diterima di seluruh dunia.
Justeru, Koo Ham menyeru rakyat mendesak Kerajaan BN supaya telus mengurus dana awam bagi mengelakkan wang rakyat terus-terusan digunakan bagi kepentingan pihak tertentu.
“Segala simpanan yang dikumpul dari jerih payah rakyat bakal dirompak jika Kerajaan BN gagal melunaskan hutangnya dan memilih secara sembarangan mencetak wang untuk melunaskan hutang,” katanya.

No comments: