‘Malaysia kurang kerja, seberang ke Singapura punyalah siksa’
DAP Johor hari ini menggesa Malaysia dan Singapura untuk mengadakan mesyuarat tergempar bersama peringkat menteri untuk membincangkan nasib ribuan pekerja negara ini yang terpaksa menunggu berjam-jam untuk menyeberangi sempadan memasuki republik itu.
Mereka mendakwa ini berikutan tindakan pihak berkuasa Singapura yang mengetatkan kawalan di pintu masuk menyebabkan kesesakan teruk di Tambak Johor-Singapura.
“Pekerja Malaysia di Singapura masih rakyat negara ini yang layak mendapat perhatian penuh kami.
“Kesengsaraan mereka tidak boleh diabaikan oleh kerajaan persekutuan dan Johor atau kerajaan Singapura,” kata Ahli Parlimen Kluang yang juga adalah ketua DAP Johor Liew Chin Tong dan empat ADUN parti itu dalam satu kenyataan bersama.
Mereka adalah Cheo Yee How (Pengkalan Rinting), Liow Cai Tung (Johor Jaya), Chen Kah Eng (Stulang) dan Chew Peck Choo (Yong Peng).
“DAP Johor menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin yang kedua-dua mereka menganggotai jawatankuasa bersama menteri Malaysia-Singapura memohon supaya mesyuarat tergempar JMC dengan rakan sejawatan dari Singapura diadakan,” kata mereka.
Menurut mereka, kedua-dua kerajaan mesti cuba mencari jalan terbaik untuk meningkatkan perkhidmatan di Pusat Imigresen dan Kuarantin (CIQ) masing-masing.
“Kerajaan Singapura perlu membuka lebih banyak kaunter di CIQ untuk membolehkan laluan pantas untuk pengguna.
“Di pihak Malaysia, pelbagai langkah juga boleh dilaksanakan bagi melancarkan keadaan lalu lintas.”
Menurut mereka, pekerja yang berulang-alik setiap hari antara Johor Baru dan Singapura adalah dari golongan berpendapatan rendah.
Keadaan sesak luar biasa itu sehingga memaksa ada pengguna yang terpaksa berjalan kaki menuju ke pusat pemeriksaan Imigresen di Singapura seawal jam 4 pagi.
Masalah kesesakan itu dipercayai semakin buruk dengan peningkatan jumlah kenderaan sepanjang musim cuti sekolah dan Krismas.