‘Memang ada plot untuk jatuhkan Najib’
Susulan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Dr Zahid Hamidi di Dewan Rakyat bahawa wujud komplot untuk menjatuhkan kepimpinan PM Najib Razak, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul mengesahkan kewujudan plot sedemikian.
Namun katanya, plot itu adalah bagi menggulingkan kerajaan BN dalam Pilihan Raya Umum akan datang. Katanya, komplot tersebut dilakukan oleh pemimpin Umno sendiri iaitu Tun Mahathir Mohamad, Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Shafie Apdal dan beberapa lagi pimpinan selain daripada pihak pembangkang.
“Saya nak sahkan ada komplot untuh jatuhkan Najib , bukan sahaja daripada pihak pembangkang tetapi juga pihak pimpinan Umno seperti Ku Li, Tun Mahathir, Tun Daim dan ramai lagi yang terlibat.
“Ini bukan perkara baru, sejak hari pertama persidangan Dewan Rakyat ia sudah wujud. Ramai yang mahu jatuhkan dia, dan Najib tidak perlu lagi berpura-pura tidak menyedari akan hal ini,” katanya kepada Suara Keadilan.
Timbalan Perdana Menteri dalam jawapan bertulis di Parlimen sebelum ini mengesahkan wujud aktiviti bertujuan menjatuhkan kerajaan persekutuan yang memerintah .
Katanya, kerajaan memandang serius percubaan mana-mana pihak secara tidak demokratik menjatuhkan kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya.
Mengula lanjut isu itu, Johari menjelaskan bahawa terdapat alasan munasabah kenapa Najib perlu diundurkan daripada jawatannya sekarang ini, iaitu beliau masih tidak telus dalam menjawab skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan juga dana sebanyak RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya.
“Kita juga memandang serius akan perkara ini, ada sebab-sebabnya, yang pertama tata kelola pentadbiran Najib amat kabur, kedua, Najib tidak memikul tanggungjawab sebenarnya terhadap rakyat dan ia dibiarkan menjadi rapuh.
“Soalan yang paling lazim dan berkaitan dengan dirinya, adalah isu 1MDB dan RM2.6 bilion dalam akuannya itu masih ditanya oleh rakyat,” kata Johari.