‘Pas terlalu ego, tidak faham kehendak politik di Selangor’
Ketua Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) Khalid Samad berkata, PAS tidak memahami sepenuhnya kedudukan mereka dalam membentuk kerajaan negeri Selangor dan tanggungjawab yang harus dipikul itu.
Khalid yang adalah bekas Timbalan Pesuruhjaya untuk PAS Selangor berkata demikian ketika diminta mengulas penolakan parti Islam itu berhubung cadangan AMANAH supaya mereka menandatangani perjanjian kerjasama dengan Pakatan Harapan untuk menjelaskan kekeliruan status kerajaan negeri Selangor.
“Saya merasa aneh bahawa mereka tidak melihat keperluan untuk parti-parti yang membentuk kerajaan negeri untuk mempunyai perjanjian antara mereka tentang apa yang mereka persetujui bersama.
“Malah kenduri di kampung pun, semua pihak perlu bersetuju mengenai apa yang perlu dilakukan dan menyelaraskannya di antara satu sama lain, apatah lagi ini pula dalam kerajaan,” katanya kepada Malaysiakini.
Bagaimanapun, katanya, reaksi berhubung cadangan AMANAH berhubung kerjasama dalam kerajaan negeri Selangor dibuat oleh mereka yang bukannya dari negeri itu.
Sehubungan itu, beliau berharap mereka yang bersama kerajaan negeri Selangor akan memahami keperluan untuk perjanjian seperti yang dicadangkan oleh AMANAH dan menjelaskan kepada mereka yang jahil.
Keengganan PAS untuk bekerjasama dengan AMANAH dan DAP membayangkan bahawa parti itu mengutamakan agenda politik daripada menjadi kerajaan yang cekap dan berkhidmat dengan berkesan untuk rakyat, katanya.
“Mungkin mereka tidak faham bahawa cadangan AMANAH adalah untuk membantu mereka dalam memainkan peranan yang lebih berkesan dalam mentadbir Selangor dengan Pakatan Harapan.
“Ini mungkin kerana mereka terlalu curiga dengan niat kita. Kita tidak mempunyai masa untuk membuktikan kepada mereka mengenai keikhlasan niat itu,” katanya.
Jika PAS boleh menolak cadangan yang munasabah seperti ini, Khalid berkata beliau tidak “melihat kebijaksanaan daripada golongan itu pada masa akan datang”.