Rafizi: Najib bimbang tergugat ekoran pendedahan skandal LRT Ampang

Saya memandang berat tingkah laku pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang nampaknya lebih mementingkan kekuasaan UMNO/BN berbanding keselamatan rakyat.

Tindakan PDRM yang menolak mentah-mentah dari menyiasat campur tangan Najib Razak dalam anugerah kontrak kerja-kerja pembinaan tambahan LRT laluan Ampang (LRT) tetapi cepat-cepat menubuhkan pasukan khas kononnya menyiasat kebocoran maklumat sulit negara apabila dokumen tender mula diketahui umum, mengesahkan persepsi kebanyakan rakyat bahawa pimpinan PDRM meletakkan kepentingan UMNO/BN mengatasi segala-galanya.

Kenyataan Bakri Zinin semalam mengesahkan dua perkara:

1. Bahawa dokumen-dokumen Kementerian Kewangan termasuk minit yang ditandatangani oleh Najib Razak dan dokumen lain berkaitan tender tersebut adalah benar dan asli;

2. Bahawa Najib Razak (gambar kanan) bimbang skandal ini bakal menggugat kedudukan beliau apabila maklumat mengenainya tersebar luas.

Saya kesal dengan kenyataan Bakri Zinin kononnya kebocoran maklumat sebegini menjejaskan keselamatan dan kepentingan negara.

Apakah beliau tidak memahami bahaya kepada jutaan orang awam yang sedang dan bakal menggunakan sistem LRT laluan Ampang sekiranya sebuah syarikat yang langsung tidak ada pengalaman di dalam sistem LRT dianugerahkan kontrak ini?

Adakah beliau sendiri berani menaiki LRT sistem laluan Ampang saban hari ke tempat kerja sekiranya beliau sedar bahawa seluruh kerja-kerja pembinaan dikendalikan oleh sebuah syarikat yang hanya berpengalaman mengilang meter air?

Paling dikesali, pimpinan PDRM tidak pula bergegas mahu menyiasat kebocoran maklumat pertahanan negara apabila dokumen sulit mengenai strategi dan kekuatan pertahanan negara dijual kepada syarikat asing, seperti yang didedahkan di Mahkamah Perancis baru-baru ini.

Jelas sekali, kepimpinan PDRM berbeza pendapat dengan rakyat Malaysia mengenai makna sebenar "kepentingan awam".

Saya sedar tanggungjawab yang perlu kami galas dan risiko yang perlu dihadapi. Nyawa jutaan rakyat Malaysia yang menggunakan sistem LRT laluan Ampang adalah terlalu berharga dan perlu dipertahankan sehinggalah kontraktor yang layak dan berkemahiran dilantik bagi projek ini.

Sebarang usaha untuk menakut-nakutkan saya dan rakan-rakan dari terus membongkar skandal ini adalah sia-sia.

Saya akan meneruskan siri pendedahan seterusnya pada hari Isnin 9 Julai 2012 seperti biasa.  Malah, mulai minggu depan kami akan mula turun ke stesen-stesen LRT untuk mengedarkan risalah maklumat dan melancarkan kempen "Utamakan Keselamatan Rakyat" di seluruh LRT laluan Ampang.

*Kenyataan media oleh Mohd Rafizi Ramli (gambar kiri) selaku Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat.

No comments: