Rakyat Boleh Banding Keikhlasan PR dan Umno-BN


PETALING JAYA 8 JULAI : Walaupun Umno-BN meniru idea dasar dan program Pakatan Rakyat, rancangan dan niat mereka tidak nampak ikhlas tetapi sekadar meraih undi, kata Timbalan Speaker Dewan Negeri(DNS) Selangor Haniza Talha.
Menurutnya, Umno-BN juga tidak lagi mampu mempengaruhi pemikiran rakyat walaupun mereka menguasai media perdana dan tidak mengamalkan dasar kebebasan maklumat.
“Umno-BN tiada idea. Mereka bagi duit kepada rakyat bukan mereka nak bantu dan tolong rakyat macam bagi RM500 (BR1M).
“Dia bagi dengan tujuan untuk dapat undi bagi mengekalkan kuasa termasuk mendapatkan kembali Selangor. Kalau benar-benar ingin menolong kenapa ia tidak dibuat sejak dulu sebelum kita memerintah?,” soal Haniza.
Haniza berkata, sejurus Pakatan mengambilalih Kerajaan Selangor pada Mac 2008 ia bertindak segera dengan menyalurkan bantuan 20 meter padu air percuma kepada rakyat dalam tempoh 100 hari.
Kerajaan Pakatan Selangor juga memulakan bantuan di dalam program Skim Mesra Usia Emas (SMUE) pada 2011.
Ini berbeza dengan Umno-BN di peringkat pusat yang hanya memulakan BR1M, pada April tahun ini semasa spekulasi pilihan raya umum memuncak.
Walaupun Umno-BN menguasai saluran media tradisional seperti televisyen, radio dan surat khabar, ledakan maklumat di internet dan rangkaian media sosial membolehkan rakyat berita tentang Pakatan.
“Apa dilakukan pemimpin Pakatan sekarang adalah pergi terus kepada rakyat di bawah dan rakyat dapat merasakan perubahan itu yang mana tidak dialami sebelumnya.
“Mereka (Umno-BN) boleh gunakan saluran media dikuasai mereka dengan membuat pelbagai dakyah tetapi rakyat akan tahu segalanya,” beliau berkata di dalam temu ramah eksklusif TVSelangor di dalam rancangan Fokus Isu.