MINDA KERAJAAN PEMERINTAH TAHAP GABAN, MASIH BERADA DIZAMAN TOK NADOQ

"Sumpah 513" telah hilang mujarab apabila kaum ibu tidak gentar lagi untuk turun ke jalan raya pada 28 April 2012.  Di samping itu, ia juga petanda bahawa negara ini sedang berada dalam tahap yang genting.  Namun demikian, kerajaan dan polis pula tidak banyak berubah, dengan minda yang masih berada dalam zaman komunis.

Ahli parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong (gambar kiri) berkata, sebelum ini, setiap kali PRU diadakan, golongan wanita, terutamanya mereka yang sudah lanjut usianya, akan bimbang berlakunya huru-hara, atau berulangnya tragedi 13 Mei 1969.

"Jika ada lagi sisa-baki keresahan ini... Pada 28 April, apa yang anda lihat tidak lagi serupa.  Pada 28 April, kita nampak kaum ibu turun ke jalan raya, kita nampak kaum wanita turun ke jalan raya, kita nampak wanita yang usianya lanjut turun ke jalan raya.  Saya rasa, kita telah meninggalkan satu zaman - dari ketakutan sebelum ini, hinggalah perubahan mula diperlihatkan."

"Padahal sewaktu 8 Mac 2008, kita membuang undi secara senyap-senyap... Tidak berani untuk memberitahu kepada orang lain.  28 April, mereka membawa tubuh badan diri ke tempat kejadian... Sedar bahawa mungkin ada gas pemedih mata, tahu mungkin adanya bahaya.  Namun, mereka tetap membawa anak ke sana, kerana mereka percaya bahawa negara ini perlu ada perubahan.  Ini kerana mereka percaya bahawa pembinaan negara ini memerlukan penyertaan setiap orang, terutamanya kawan kaum Tionghua."

"Kaum ibu turun ke jalan raya pada 28 April, lambang sumpah 13 Mei telah hilang mujarab sepenuhnya," kata Liew Chin Tong.

Demikianlah ulasan pimpinan DAP dalam satu forum berjudul "Kesamarataan gender: Mengapa ibu juga turun ke jalan raya pada 28 April?", diadakan pada 17 Mei 2012.  Selain Liew Chin Tong, forum ini turut membariskan panelis Pengerusi AWAM Ho Yock Lin dan ahli parlimen Bukit Mertajam Chong Eng, dengan Lee Chin Chen sebagai moderator.

Forum ini diadakan sempena perlancaran buku tulisan Chong Eng.  Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, ahli parlimen Seputeh Teresa Kok, ADUN Teratai Jenice Lee dan pimpinan DAP yang lain turut hadir memberi sokongan.  Forum ini menarik kira-kira 80 orang hadirin.

Petanda ibu turun ke jalan raya

Chong Eng berkata, kaum ibu adalah benteng terakhir.  Ini kerana pada lumrahnya ibu tidak akan turun ke jalan raya, dan tidak akan turun ke jalan raya sewenang-wenangnya.  Mereka lebih selesa dengan perwatakan untuk mempertahankan keluarganya.

"Apabila ibu turun ke jalan raya... Iaitu, pertama, dia menganggap anaknya dalam keadaaan bahaya, maka dia perlu menampilkan diri; kedua, BERSIH telah menembusi masyarakat, sehingga kaum ibu juga tahu bahawa dia perlu menyertai.  Kalau tidak, pilihan raya tidak adil, tidak demokratik, negara tidak mempunyai masa depan - dengan kata lain anak juga tidak mempunyai masa depan.  Demikianlah faktor kaum ibu turun ke jalan raya."

Malah Chong Eng (gambar kiri) mengambil contoh Wan Azizah Wan Ismail ketika zaman Reformasi, Betty Chew ketika zaman suaminya Lim Guan Eng dipenjarakan, dan pejuang demokrasi Aung San Suu Kyi - untuk mengatakan bahawa dari sudut politik, apabila kaum ibu tampil, ia bermakna negaranya sedang berada dalam keadaan genting.

Chong Eng memetik peribahasa Barat bahawa tangan yang menggoncang buaian boleh memerintah dunia ini.  "Apabila anda mendapat sokongan ibu, maksudnya anda boleh membentuk kerajaan!" katanya, disambut dengan tepukan gemuruh.

Zaman komunis

Selain itu, Liew Chin Tong juga berkata, mantan Ketua Polis Negara Haniff Omar mendakwa bahawa "sebahagian peserta perhimpunan BERSIH adalah bekas anggota Komunis", tetapi lupa pula bahawa Pemuda UMNO telah menjalin hubungan dengan  Pemuda Parti Komunis China - jelas tidak sedar bahawa senario telah berubah.

"Namun, kerajaan dan polis tidak banyak berubah... Polis berkata hanya kerajaan menguasai media, apa yang dilaporkan media kerajaan adalah kenyataan rasmi, semua hanya menurut, bahawa itu adalah realiti.  Kira-kira 300 anggota polis mengambil gambar ketika 9 Julai 2011; pada 28 April, gambar media telah dihapuskan... Apa yang tersirat di sebaliknya, guna hanya gambar polis."

Tetapi Liew Chin Tong menganggap polis telah lupa bahawa ini adalah zaman Facebook, setiap orang mampu menggunakan telefon bimbitnya untuk dijadikan kamera, dan "terbit akhbar sendiri" di Facebook.

"Zaman telah berubah, tetapi kerajaan kita masih terkurung pada zaman lalu, dan gagal terkeluar."
*Ong Vic Kee ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut, diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 18 Mei 2012.