AHLI PAS WAJIB HADIR

Mesyuarat PAS Pusat yang diadakan pada 13 Mei yang lalu telah membuat keputusan menangguh Muktamar yang dijadualkan awal Jun dan menggantikannya dengan Ijtimak Pilihanraya dan Munajat Perdana yang akan diadakan pada 1 Jun 2012 di Stadium Darul Aman, Alor Star, Kedah.

Seluruh kepimpinan parti perlu membuat persiapan awal bagi memastikan matlamat himpunan lebih 100,000 ini mencapai kejayaan.  Setiap ahli perlu mengambil inisiatif sendiri untuk hadir dalam himpunan perdana ini.

Ijtimak bermula dengan satu taklimat tertutup kepimpinan tertinggi parti seluruh negara dan ahli yang berhormat bersama Presiden bermula jam 10 pagi di kompleks PAS negeri.

Manakala himpunan untuk semua ahli PAS bermula seawal jam 4 petang dan dijangka berakhir jam 12 malam.  Bawalah apa-apa yang perlu untuk keselesaan munajat.

Semua program parti yang bertindih dengan program ijtimak pilihanraya hendaklah ditangguhkan.

Munajat perdana insya-Allah akan dipimpin sendiri oleh Murshidul Am Tuan Guru Nik Abd Aziz, manakala amanat Presiden akan menjadi acara kemuncak ijtimak dan berakhir dengan pembacaan ikrar oleh seluruh ahli PAS, sebagai baiah dan janji setia bagi menggarap usaha bagi mencapai kemenangan.

Ijtimak kali ini juga akan disertai oleh beberapa tokoh besar yang menyatakan kesediaan untuk turut sama bergabung dalam PAS.  Mereka akan diisytihar secara rasmi bagi menyatakan ikrar dan sokongan mereka kepada parti.

Semua ahli diseru menjadikan ijtimak kali ini sebagai pemangkin kepada pembinaan semangat juang yang tinggi kepada seluruh jentera, ahli dan penyokong parti.  Semoga majlis diberkati Allah.

*Kenyataan media oleh Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar kiri) selaku Ketua Penerangan PAS Pusat.

No comments: