PKR hari ini mendakwa bahawa pengarah National Feedlot Corporation telah menggunakan pinjaman mudah oleh kerajaan sebagai cagaran untuk membeli lapan hartanah komersial di Bangsar, Kuala Lumpur.
Pengarah strateginya, Rafizi Ramli mendakwa pengerusi eksekutif NFC, Datuk Mohamad Salleh Ismail telah menggunakan kawalan ke atas dana berkenaan untuk mendapatkan pinjaman bagi membeli lapan lot kedai berkenaan.
Rafizi yang memetik dokumen bank, sebahagiannya diedarkan kepada wartawan, mendakwa unit kedai KL Eco City itu dibeli dengan nilai cagaran RM9.69 juta.
Rafizi mendakwa pembelian tersebut dibuat dengan menggunakan pinjaman oleh Mohamad Salleh dan juga oleh individu yang setakat ini masih belum dapat dikenalpasti.
Bercakap dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini, Rafizi berkata menganggarkan bahawa nilai pasaran hartanah berkenaan boleh mencecah RM12 juta.