SELCAT: Ambil Iktibar Daripada Kerugian PKPS

SELCAT: Ambil Iktibar Daripada Kerugian PKPS

SHAH ALAM, 7 MAC : Jawatankuasa Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) menyarankan setiap badan berkanun dan anak syarikat kerajaan negeri supaya mengambil iktibar daripada kelemahan pengurusan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) Agro Industries Sdn Bhd bagi mengelakkan kerugian.

Pengerusi SELCAT, Datuk Teng Chang Khim berkata, kerugian yang berlaku dalam perbadanan tersebut bermula pada tahun 2005 sehingga 2006 adalah disebabkan oleh kelemahan pengurusan dan pemasaran ekoran ketiadaan tenaga pakar dan khidmat profesional untuk mengambil alih perniagaan sedia ada apabila membuka anak syarikat lain.

Beliau merujuk kepada kerugian yang dialami tiga anak syarikat PKPS Agro Industries Sdn Bhd iaitu Premium Agro Products Sdn Bhd (PAPSB), Premium Sanitised Products Sdn Bhd (PSPSB) dan Premium Bioherbs.

Selain itu, Teng turut menyifatkan ketidakcekapan pentadbiran ahli lembaga pengarah yang dilantik sebelum ini bagi menguruskan ketiga-tiga anak syarikat berkenaan juga antara faktor utama yang menyumbang kepada kerugian yang berlaku dalam syarikat terbabit.

“Saya berharap badan berkanun dan anak syarikat lain supaya mengambil kes ini sebagai satu iktibar di mana kalau kita tidak dapat memberi fokusk kepada sesuatu perniagaan, maka masalah seperti PKPS Agro ini akan berlaku dan menyebabkan kerugian.

Ia melibatkan kepada kebijaksanaan pengurusan untuk membuat keputusan sebelum membuka sesuatu cabang perniagaan. Apabila kertas cadangan itu dibentangkan di hadapan jemaah menteri, mereka memberi kepercayaan penuh kepada pengurusan,” katanya.

Sesi pendengaran awam SELCAT berhubung isu PKPS Agro Industries Sdn Bhd hari ini diwakili Bekas Pengurus Besarnya, Md Zahary Malek, Pengurus Besar PKPS, Ali Ahmad dan Timbalan Pengurus Besar PKPS (Pembangunan Perniagaan) Aqmal Azam Ahmad.

Difahamkan, PKPS Agro Industries Sdn Bhd memiliki tiga projek di bawah tiga anak syarikatnya dengan nilai projek berjumlah RM90.3 juta secara keseluruhannya, di mana dana tersebut diperolehi daripada Kementerian Kewangan.

Antara projek tersebut adalah projek pemprosesan salad dan jus buah-buahan bernilai RM30.1 juta, projek baja organik bernilai RM10 juta serta projek mengekstrak bahan aktif daripada herba tempatan mengamalkan teknologi nano bernilai RM50.2 juta.

Bagaimanapun, ketiga-tiga projek ini gagal diselenggarakan dan tidak mencapai sasaran PKPS sehingga mengakibatkan perbadanan itu terpaksa menanggung hutang sejumlah RM40.1 juta sehingga kini.

Namun, menurut pengurus besarnya, pihak PKPS akan berusaha mencari rakan perniagaan yang berpotensi untuk membangunkan semula anak syarikat terbabit bagi menjana keuntungan dan mengurangkan bebanan hutang yang terpaksa dibayar.

Sehubungan itu, Teng menyarankan Kementerian Kewangan supaya meneliti semula geran pinjaman yang diberikan kepada mana-mana anak syarikat kerajaan mahupun badan berkanun bagi mengatasi kerugian yang akan ditanggung sekiranya sesuatu projek itu gagal mencapai matlamat yang ditetapkan.

“Kementerian Kewangan perlu melihat semula geran di mana nampaknya begitu mudah untuk diluluskan tetapi jaminan untuk memperolehi kembali pinjaman tersebut nampaknya begitu sukar.

Kementerian juga tiada kepakaran untuk ambil alih perniagaan sedia ada. Jadi, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri perlu bekerjasama untuk memastikan wang rakyat ini dapat digunakan sebaik-baiknya bagi mengurangkan ketirisan,” tegasnya.

No comments: