NUTP DIGESA LEBIH AGRESIF MEMBANTAH UJIKAJI TERHADAP KAUM GURU....

NUTP gesa Putrajaya batal projek rintis, jangan paksa guru kerja 9 jam

November 13, 2011
Di bawah projek perintis guru dihendaki berada di sekolah selama sembilan jam di sekolah. — Foto fail
KUALA LUMPUR, 13 Nov — Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) hari ini menggesa Putrajaya membatalkan sahaja projek perintis guru bertugas sembilan jam sehari atas alasan kajian itu satu tindakan membazir selain tidak mendapat maklum balas positif daripada kalangan tenaga pendidik.

Selain itu, NUTP juga mendakwa dasar baru tersebut tidak sesuai buat masa sekarang memandangkan kebanyakan sekolah kurang kemudahan selesa dan kondusif bagi guru.

Projek perintis itu akan dilaksanakan di empat negeri melibatkan sekitar 5,000 guru sekolah rendah dan menengah kerajaan mulai 1 Januari depan.

Presiden NUTP Hashim Adnan berkata, pihaknya pasti bahawa kajian perintis itu tidak akan membawa hasil positif jika mengambil kira kemudahan semasa di kebanyakan dan beban kerja setiap guru buat masa sekarang.

“Kita tahu bahawa kajian perintis ini tidak akan membawa keputusan positif yang diharapkan oleh Kementerian Pelajaran... jadi mengapa kita hendak membuang masa dan wang rakyat.

“Lagipun guru tidak perlu diwajibkan kerja sembilan jam seperti perkhidmatan lain, sebagaimana dikatakan oleh menteri (hari ini), guru-guru perlu cukup istirahat dan mereka sebenarnya kerja lebih daripada sembilan jam... misalnya kita ambil kira seorang cikgu yang meninggal dunia bersama dua anak muridnya,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini, dengan merujuk kepada tragedi empat orang meninggal dunia dalam nahas lebuh raya dekat Behrang awal pagi kelmarin.

Kata Hashim, besar kemungkinan guru-guru tidak akan berminat dengan dasar baru kerja sembilan jam, dan oleh itu “mengapa kerajaan hendak meneruskan kajian perintis ini?”

Hashim menjelaskan, Kementerian Pelajaran hendak menjalankan kajian perintis sebelum mewajikan kaum guru berkhidmat selama sembilan jam sehari seperti kakitangan awam yang lain.

“Langkah ini bertujuan menjadikan perkhidmatan pendidikan seperti perkhidmatan lain di negara ini. NUTP merasakan langkah ini tidak sesuai, tidak kena tempat memandangkan sifat perkhidmatan itu sendiri berbeza daripada sektor perkhidmatan awam yang lain,” kata beliau.

Di bawah dasar baru ini, guru sebelah pagi dikehendaki berada di sekolah dari 7.30 pagi hingga 4.30 petang manakala guru sebelah petang pula dikehendaki masuk sekolah 9.30 pagi dan bertugas sehngga 6.30 petang.

Semalam, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong menasihatkan para guru agar tidak “panik” dengan projek rintis sistem bekerja sembilan jam Kementerian Pelajaran.

Projek itu yang akan dilaksanakan mulai Januari 2012 di empat negeri — Melaka, Sarawak, Pahang dan Johor berasaskan satu kajian di Melaka Tengah yang mengenal pasti tempoh bekerja yang ideal bagi guru.

Laporan media menyebut kira-kira 5,000 guru dari hampir 104 sekolah di seluruh negara akan menjadi perintis kepada sistem waktu bekerja sembilan jam mulai Januari depan.

PAS, komponen Pakatan Rakyat hari ini turut menggesa Kementerian Pelajaran mengkaji semula projek perintis guru-guru bertugas selama sembilan jam sehari yang akan dilaksanakan di empat negeri mulai Januari ini.

Ahli jawatankuasa kerja PAS Idris Ahmad berkata, tindakan itu tidak wajar memandangkan guru memang sedia terbeban pada masa ini termasuk tugasan selain mengajar.

“Rasional apakah guru-guru terpaksa bekerja selama sembilan jam? Sebenarnya guru-guru di Malaysia sudah sedia terbeban, bukan sahaja pembelajaran dan pengajaran.

“Malahan guru sudah menjadi tenaga kerja pelbagai tujuan kerana semua perkara guru terpaksa melakukan. Guru juga pemandu ambulans jika pelajar sakit, menjadi polis trafik ketika pelajar keluar sekolah, pengawal disiplin, pegawai kewangan kalau ia guru kelas, menjadi kerani untuk masuk markah,” kata beliau.

Hashim menambah, berkata pihaknya belum menjalankan kajian ke atas projek perintis itu tetapi pihaknya telah menerima maklum balas awal daripada guru-guru membantah langkah itu.

“Tanda-tanda awal ini menunjukan projek ini tidak akan berjaya, jadi batalkan sahaja projek perintis... buang masa kalau kita buat kajian ini,” kata beliau yang turut berharap Jabatan Perkhidmatan Awam akan meneliti perkara ini khususnya dari sudut kemudahan dan keselesaan tempat kerja.

“Kalau kita hendak duduk di pejabat selama sembilan jam sehari, kita kena ada kemudahan yang selesa. Kakitangan di agensi lain ada meja, persekitaran yang selesa, tetapi di kebanyakan sekolah tidak, ini kena diperbaiki dulu... tak perlu buat kajian lagi,” tambah Hashim.