Kerajaan Pusat Diharap Ikut Contoh Selangor Laksanakan Gaji Minima

SHAH ALAM, 14 NOV : Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan bahawa skim gaji minima sememangnya tidak boleh dilaksanakan untuk kesemua penjawat awam di Negeri Selangor ekoran pelaksanaannya berkait dengan pemberian pencen di bawah kuasa Kumpulan Wang Negara.

Walaubagaimana pun, Khalid menjelaskan kerajaan negeri hanya merintis dan perlaksanaan menyeluruh di peringkat nasional terletak di bahu Kerajaan Pusat iaitu menerusi Kementerian Sumber Manusia.

"Kita mesti mengambil kira tentang pencen dibawah Kumpulan Wang Negara, jadi tidak boleh dilakukan.

"Namun sekiranya negara (Kerajaan Pusat) bersetuju, barulah ianya boleh dilaksanakan, tetapi yang paling penting gaji minima ini ialah tugas negara bukan tugas negeri,"

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyatan Adun Batang Kali, Mohd Isa Abu Kasim yang mendakwa langkah Kerajaan Negeri melaksanakan gaji minimum RM1,500 kepada kakitangan syarikat milik Kerajaan Negeri (GLC) sebagai diskriminasi terhadap penjawat awam di negeri ini.

Mohd Isa mempertikaikan pelaksanaan gaji minimum tersebut yang hanya dijalankan kepada syarikat milik Kerajaan Negeri.

Terlebih dahulu, Abdul Khalid memberitahu Dewan yang Selangor memperuntukkan kira-kira RM100 hingga RM150 ribu kepada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk menjalankan kajian terperinci berkenaan pelaksanaan gaji minima dengan lebih meluas.

Sebelum ini, MTUC menggesa kerajaan negeri Selangor memperluaskan skop pelaksanaan gaji minima kepada sektor swasta dan tidak terhad kepada kakitangan anak syarikat kerjaan negeri sahaja.

Abdul Khalid berkata kerajaan negeri mahu pelaksanaan gaji minima diperluaskan kepada sektor swasta namun kuasa untuk membuat demikian hanya berada ditangan kerajaan pusat.

Tambahnya, Selangor sebagai negeri perintis yang mendahului kerajaan persekutuan dalam usaha ini berharap ia menjadi ikutan negeri-negeri lain dalam mendepani masalah kemiskinan rakyat.

"Hasil kajian MTUC ini kita akan bawa berbincang dengan kerajaan Persekutuan untuk fikirkan cara pelaksanaannya.

"Kalau kajian yang dilakukan MTUC ini berjaya dan keputusannya baik, kenapa tidak pihak swasta melakukan perkara yang sama," beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Adun Kota Damansara, Nasir Hashim.

Pada 9 November lalu, Khalid menerusi Pembentangan Belanjawan Selangor 2012, mengumumkan pelaksanakan dasar gaji minima, RM1,500 sebulan sebagai gaji permulaan di syarikat-syarikat milik kerajaan negeri mulai tahun depan.

Pelaksanaan ini melibatkan kakitangan syarikat-syarikat milik kerajaan negeri yang status kewangannya stabil sebelum ia diperluaskan kepada syarikat lain.

Antara syarikat itu termasuk Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Worldwide Holdings Bhd.

Manakala bagi syarikat-syarikat yang mempunyai status kewangan yang tidak stabil, Abdul Khalid berkata kerajaan negeri akan menyediakan peruntukan dana RM10 juta supaya kenaikan gaji dapat dilaksanakan.


No comments: