Bersih 2.0: SKMM panggil jurufoto Suara Keadilan bantu siasatan
KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Seorang jurugambar Suara Keadilan milik Parti Keadilan Rakyat (PKR) dipanggil memberi keterangan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung gambar yang dirakamkan semasa perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.
Ketika dihubungi The Malaysian Insider, jurugambar itu Yusriah Yusof, 50, mengesahkan perkara itu dan akan hadir memberi keterangan kepada SKMM pada Jumaat ini.
Dalam arahan kehadiran yang difakskan kepada Yusriah, dia diminta hadir bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 255 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Ya... saya telah diminta hadir untuk memberikan keterangan mengenai gambar pada Himpunan Bersih 2.0 tapi saya tidak diberitahu gambar yang mana satu.
“Pegawai (SKMM) mengatakan gambar kecederaan tapi tidak nyatakan gambar yang mana satu, saya kata banyak gambar cedera tapi pegawai itu minta saya hadir ke pejabat SKMM,” katanya.
Kata Yusriah, dia tidak menolak kemungkinan gambar yang dimaksudkan itu adalah gambar kecederaan yang melibatkan pengawal peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Fayyadh Afiq Albakqry.
“Mungkin ia gambar pembantu peribadi Anwar semasa Himpunan Bersih 2.0,” katanya.
Pada Himpunan Bersih 2.0, Fayyadh mengalami kecederaan teruk di muka dan hancur tulang pipi selepas terkena kanistes gas pemedih mata.
Sebanyak lima plat besi dimasukkan di tulang pipi Fayyadh di mana hampir 12 kanister gas pemedih mata dilepaskan di dalam terowong di KL Sentral dan tiga terkena di mukanya dan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang cedera di kepala.