Laporan Pembaharuan Sistem P/Raya Boleh Siap Sebelum Mac 2012-Bersih
PETALING JAYA 16 OGOS : Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 mahu jawatankuasa pilihan khas Parlimen (PSC) mengenai reformasi proses pengundian yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam, untuk mengimplementasikan tuntutan rakyat dalam himpunan aman Bersih 9 Julai lalu.
Justeru, Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 membentangkan garis panduan yang boleh diikut oleh PSC terbabit.
Menurut Maria Chin Abdullah, Bersih 2.0 mengesyorkan agar jawatankuasa pilihan khas membentangkan dua laporan – pertama berkaitan dengan pembaharuan segera untuk diumumkan sebelum Mac depan manakala laporan jangka panjang dalam tempoh setahun.
"Laporan pertama mengenai perubahan segera mesti dibuat sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan jawatankuasa PSC mesti menyiapkan laporan itu dalam tempoh 3 bulan," tegas Maria dalam satu sidang media di Pejabat Sekretariat Bersih 2.0 hari ini.
Semalam, Najib mengumumkan penubuhan jawatankuasa pilihan khas parlimen mengenai pembaharuan pilihan raya dalam masa terdekat bagi mengelakkan sebarang syak- wasangka wujudnya manipulasi oleh kerajaan.
Najib berkata panel itu yang akan dianggotai oleh anggota parti kerajaan dan pembangkang akan membincangkan apa yang perlu dilakukan untuk mendapatkan kata sepakat ke arah itu.
Bersih 2.0 sebelum ini mengememukakan lapan tuntutan iaitu membersihkan daftar undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas dan adil, tempoh kempen minimum 21 hari, diperkukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor.
Gabungan itu juga turut meminta agar pendaftaran automatik pengundi diadakan kerana SPR dan agensi berkaitan mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian.
Malah menurut seorang lagi Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0, Wong Ching Huat, pendaftaran automatik mampu menyelesaikan masalah SPR sebelum ini berkaitan pendaftaran bertindih dan pengundi hantu.
"Pendaftaran automatik pengundi tiada masalah sepatutnya untuk diimplementasikan. Bila seseorang sudah cukup umur, secara automatik nama dia dimasukkan dalam daftar pemilih mengikut komputer...ini tak bertentangan dengan perlembagaan. Kini ada ramai pengundi tidak berdaftar...ini boleh jadi satu NKRA kepada agensi terbabit," kata beliau.
Bagaimanapun Bersih 2.0 menyeru agar Najib menangguh pilihan raya sehingga implementasi PSC dapat dilakukan sekurang-kurangnya bagi laporan pertama.
"Ia boleh dilakukan sebelum Mac ini. Kalau cadangan PSC tidak dilakukan untuk PRU akan datang, sia-sia apa yang rakyat minta pada 9 Julai lalu," tegas Maria.
Laporan kedua pula menyentuh kepada isu besar lain yang membelenggu Pilihan Raya di Malaysia.
Bersih 2.0 memberi tempoh 2 tahun agar PSC dapat meneliti dan menyelesaikan masalah ini.
Isu tersebut ialah kajian mengenai isu 'gerrymandering' SPR, pembiayaan pilihan raya parti politik, penggubalan akta Neutrality bagi kerajaan 'caretaker', implementasi semula Pilihan Raya Tempatan (PBT) bagi PNT dan penduduk kampung, pengenalan referendum sebagai satu cara demokrasi, review kepada masalah pilihan raya serta petisyen pilihan raya dan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi meneliti secara penuh isu pilihan raya di Malaysia.