PR Ingatkan Najib Jangan Mengelak, Desak Inkuiri Awam


KUALA LUMPUR 16 OGOS : Lantaran tidak menerima sebarang respon balas dari Perdana Menteri berhubung sidang khas parlimen yang dituntut, Pakatan Rakyat hari ini mendesak supaya Putrajaya mengadakan inkuiri awam bersabit isu pilihan raya.

Bercakap pada satu sidang media, ahli parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya memberi tempoh tujuh hari kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkuatkuasa esok selepas beliau gagal memanggil satu sidang tergempar parlimen.

“Pada 8 Ogos lalu kita telah menghantar satu surat rasmi kepada Perdana Menteri untuk memanggil satu sidang tergempar parlimen yang berkaitan isu pemastautin tetap menjadi warganegara dan pengundi dengan kadar segera dan kita telah serahkan surat itu melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz dan tempoh tujuh hari itu telah tamat semalam yang mana Perdana Menteri mengumumkan untuk menubuhkan jawatankuasa khas Parlimen.

“Tapi beliau (Najib) hanya nyatakan ia (jawatankuasa khas Parlimen) itu hanya fokus kepada pembaharuan pilihan raya, jadi saya tegaskan Perdana Menteri jangan lari daripada tajuk asal, jangan lari dari perkara asas yang kita anggap satu pengkhianatan dan penyelewengan khususnya mendaftarkan pemastautin tetap jadi warganegara dalam tempoh beberapa jam,” katanya.

Semalam Najib mengumumkan penubuhan jawatankuasa pilihan khas parlimen mengenai pembaharuan pilihan raya dalam masa terdekat bagi mengelakkan sebarang syak-wasangka wujudnya manipulasi oleh kerajaan.

Najib berkata panel itu juga akan turut dianggotai oleh anggota parti kerajaan dan pembangkang akan membincangkan apa yang perlu dilakukan untuk mendapatkan kata sepakat ke arah itu.

Walau bagaimanapun kata Salahuddin yang juga naib presiden PAS, kepimpinan Pakatan Rakyat tidak akan berkompromi dan mahu Putrajaya mengadakan inkuiri awam.

“Isu ini kita tidak boleh berkompromi dan kita berpandangan Perdana Menteri harus memanggil sidang tergempar parlimen dan bukan mengambil tindakan menubuhkan jawatankuasa khas Parlimen tetapi perkara yang besar, berlaku penyelewengan yang berlaku dalam urus tadbir yang mana pemastautin tetap bertukar status kewarganegaraan dalam tempoh beberapa jam.

“Kita, hari ini mendesak Perdana Menteri mengadakan inkuiri awam iaitu satu sesi bertemu rakyat di seluruh negara untuk rakyat tampil dan kemukakan bukti-bukti mengenai penipuan dan penyelewengan yang kita anggap mengancam keselamatan negara,” katanya.

Menurut salahuddin, penubuhan jawatankuasa khas ini juga tidak dapat menyelesaikan masalah daftar pemilih yang jelas bercelaru dan diragui kesahihannya.

“Adakah kita rela orang luar, orang asing yang tidak faham negara kita boleh menentukan masa depan negara yang kita anggap sangat memberi kesan, ini isu sebenar yang gagal di jawab Najib, sebaliknya beliau berdalih untuk menubuhkan jawatankuasa pilihan Parlimen ini tidak memadai untuk selesaikan isu yang besar.

“Sebab itu, kita desak inkuiri awam diadakan untuk rakyat kemukakan bukti-bukti, kalau tidak dipenuhi kita tidak akan teragak-agak untuk bertemu Yang di-Pertuan Agong dan kita akan minta suruhanjaya diraja ditubuhkan, ini yang kita mahu...Perdana Menteri jangan lari dari isu sebenar,” katanya.

Dalam pada itu setiausaha publisiti DAP, Tony Pua ketika dihubungi Tv Selangor hari ini berkata, beliau khuatir sekiranya penubuhan jawatankuasa itu hanya helah Najib untuk lari dari masalah sebenar.

"Oleh sebab itu kita harap, penubuhan satu jawatankuasa ini bukan untuk membisukan suara rakyat dalam pilihan raya akan datang. Dan buat masa ini, mungkin mereka hendak tubuhkan jawatankuasa ini supaya kita tidak buat bising lagi dan dalam jangka masa pendek mereka akan panggil pilihan raya sebelum apa-apa rombakan dibuat ke atas pilihan raya kita,"katanya.

No comments:

(function() { var d = document, w = window; w

Bicara Tokoh bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim | 10 April 2021