PM, Isteri Digesa Beri Kerjasama, Elak Sapina

SHAH ALAM 26 JULAI : Lima saksi, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor diingatkan agar tidak terus mengelak untuk memberi keterangan sekaligus terhindar dari dikenakan sapina oleh mahkamah dalam perbicaraan kes fitnah liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum 8 Ogos depan.

Peguam Ketua Pembangkang, Sankara Nair berkata, mengikut undang-undang adalah menjadi tanggungjawab pihak pendakwaan untuk memastikan mereka mengemukakan kesemua saksi untuk ditemu bual pihak pembelaan.

"Kami boleh memohon sapina dari mahkamah. Sapina ini adalah satu order (kuasa) kepada mahkamah untuk mereka menghadapkan diri di mahkamah.

"Permohonan ini adalah untuk memohon supaya pihak pendakwa membekalkan atau mengesahkan kehadiran Datuk Seri Najib, Datin Seri Rosmah, dua pegawai polis dan Hasanuddin supaya dibawa ke mahkamah untuk di temuramah oleh kami," tegasnya.

Hari ini, Anwar Ibrahim memfailkan satu notis usul memohon pihak pembelaan dibenarkan menemubual lima saksi, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dalam perbicaraan kes liwatnya sebelum beliau membela diri pada 8 Ogos.

Dalam permohonannya yang difailkan menerusi Tetuan Karpal Singh & Co pagi ini, Anwar selain menamakan Najib dan Rosmah, turut menamakan tiga saksi yang lain.

Mereka ialah Hasanuddin Abd Hamid pemilik unit kondominium di mana kejadian didakwa berlaku bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusof.

Sebelum ini, Sankara Nair menerima sepucuk surak daripada Jabatan Siasatan Jenayah Brickfields bertarikh 18 Julai bahawa Mohd Rodwan, Najib, Rosmah dan Musa enggan ditemu bual tetapi bersetuju untuk menjadi saksi pihak pembelaan dengan syarat sapina dikeluarkan terhadap mereka.

Pada 13 Julai, hakim perbicaraan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan 8 hingga 26 Ogos untuk mendengar hujahan pihak pembelaan.

Pada 16 Mei, Hakim Mohamad Zabidin memerintahkan Anwar membela diri selepas memutuskan bahawa bekas pembantu ketua pembangkang itu, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang merupakan pengadu kes itu ialah saksi yang boleh dipercayai dan berwibawa.

Pada penghujung kes pendakwaan, pihak pendakwaan mengemukakan 71 saksi, yang mana pihak pembelaan memilih untuk menemu bual 25 orang.

Pada 7 Ogos 2008, Anwar, 63, mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan meliwar bekas pembantunya di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun, 2008.

No comments:

(function() { var d = document, w = window; w

JULAI 2021-PERISTIWA JULAI 2021