GEORGETOWN 26 JULAI : DAP sedia menyambut baik usaha penambahbaikan proses pilihan raya di negara ini sekiranya ada jaminan sistem biometrik yang hendak diperkenalkan itu tidak dimanipulasi.
Pada masa sama, DAP turut mencadangkan supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya memberi penekanan kepada ciri-ciri kawalan keselamatan sistem tersebut sebelum ia dilaksanakan.
Jelas Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng, aspek keselamatan perlu diutamakan kerana dibimbangi maklumat dalam sistem tersebut dicerobohi untuk tujuan manipulasi oleh pihak tertentu.
"Kita pun tak tahu apa akan berlaku, akhirnya jika ada sesuatu tidak kena berlaku mereka akan kata adakah mereka akan gunakan alasan...“Oh, kita kena hack? Kita ditembusi oleh hacker!” tegasnya.
Selain itu, DAP mahu SPR memastikan sistem itu mampu menampung jumlah pengundi pada hari mengundi.
Kelmarin Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihaknya menolak sekeras-kerasnya sistem biometrik kerana tidak menjamin elemen satu orang satu undi semasa pilihan raya.
“Kita perlu menentang sistem ini. Sudah menjadi tanggungjawab rakyat memastikan negara bersih dan adil,” katanya.
Sabtu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan bersetuju memberi peruntukan kepada SPR bagi mewujudkan sistem biometrik dalam mengesahkan pengundi yang sah pada pilihan raya.
Beliau berkata, ia adalah salah satu usaha untuk memastikan pilihan raya di negara ini dijalankan secara telus dan adil.
Najib juga berkata kerajaan bersetuju memberi peruntukan kepada suruhanjaya itu bagi mewujudkan sistem biometrik dalam mengesahkan pengundi yang sah pada pilihan raya.
Salah satu tuntutan Bersih 2.0 baru-baru ini ialah menggunakan dakwat kekal, yang sepatutnya digunakan ketika pilihan raya umum 2008 tetapi dibatalkan pada saat-saat akhir.