WAJAH Tarik Minat Wanita Luar Bandar

PETALING JAYA 21 JUN : Wanita Parti Keadilan Rakyat hari ini mengumumkan penubuhan Wanita Keadilan Jelajah Kampung (WAJAH) yang bertujuan untuk menarik sokongan wanita luar bandar terhadap Pakatan Rakyat.

Menurut Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, program ini merupakan kesinambungan ucapan dasar beliau sewaktu Kongres Nasional Tahunan Keadilan tahun lalu yang memberi penekanan kepada strategi, inisiatif dan idea wanita PKR.

Menurut Zuraida, wanita yang merangkumi hampir 50 peratus pengundi di negara ini dahagakan informasi terhadap perkara sebenar yang berlaku di negara ini lantaran kekangan media Umno-Barisan Nasional.

"WAJAH merupakan suatu strategi, insiatif dan idea dari pimpinan Wanita Keadilan Selangor yang berasaskan kaedah jelajah yang merangkumi seluruh kelompok pengundi dan lokaliti dari luar bandar, FELDA, estet, ladang sehingga ke kelompok orang asal," kata beliau dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini hari ini.

Zuraida menganggap pembangunan wanita di negara ini tidak selaras dengan kemajuan pembangunan negara berdasarkan kepada indeks Jurang Jantina Global 2010 yang dibentangkan di Forum Ekonomi sedunia baru-baru ini.

Menurut laporan yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menilai jurang pencapaian wanita dari pelbagai sudut seperti pencapaian ekonomi, pendapatan, pendidikan, pekerjaan dan sebagainya, mendapati Malaysia hanya menduduki tangga ke 101 dari 132 negara.

Menurut beliau, WAJAH berbeza dengan skuad Sayang yang digunakan oleh Umno yang lebih menggula-gulakan rakyat luar bandar dengan sumbangan dari Kerajaan Pusat dan bukannya insiatif dari parti Umno demi pencerahan politik dan maklumat kepada rakyat.

"Pendekatan WAJAH berbeza kerana ia berikan ilmu pengetahuan. Jadi ini amat dihausi oleh Wanita di Malaysia seperti mana kita lihat bajet tambahan semalam, Kementerian Wanita 30 peratus, mereka memperoleh lebih kurang RM 458 juta dan disasarkan untuk beri sumbangan kepada OKU, orang susah, ibu tunggal dan sebagainya. Jadi ini mainan politik Umno guna duit rakyat untuk beri sumbangan bawah nama Wanita Umno.

"Wanita keadilan berganjak dari arah itu, dan kami memfokuskan lebih kepada maklumat dan ilmu untuk beri perubahan hidup dan kualiti dan main peranan sebagai rakyat Malaysia," tegas Zuraida.

Sementara itu, menurut naib ketua wanita Keadilan, Haniza Talha pula, pelancaran WAJAH akan dijalankan serentak di semua 13 negeri dan wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mulai 2 Julai ini.

Pelbagai program telah disusun untuk mendekati penduduk luar bandar bagi memastikan mereka tidak tercicir dalam arus politik dan pembangunan negara dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Parti Pakatan Rakyat dan pimpinan tempatan yang lain.

"Pendekatan kita adalah pimpinan akan turun sekali mendengar rintihan penduduk. Pendekatan dinamik ini kerana BN jarang turun bergaul bersama rakyat. Perkara ini tidak asing bagi kami kerana sebelum ini pemimpin kami juga rakyat. Kita dengar sendiri semua pendapat mereka," kata beliau.