SHAH ALAM 21 JUN : Angkatan Muda Keadilan (AMK) menegaskan rakyat tetap akan turun ke jalan pada 9 Julai ini, biarpun terpaksa berdepan dengan pelbagai ugutan dan ancaman, tegas Timbalan Ketua AMK, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin.
“Biar apa jua keadaan yang mendatang, AMK akan terus berada di barisan hadapan untuk membawa rakyat merempuh sistem pilihanraya yang tidak telus melalui Perhimpunan Bersih 2.0 kelak,” tegasnya dalam satu kenyataan lewat petang semalam.
Khairul berkata demikian bagi mengulas kenyataan yang dibuat secara berangkai oleh Umno, Pertubuhan Pribumi Perkasa dan pihak polis mengenai perhimpunan tersebut, yang jelas menunjukkan kedangkalan dan sikap tidak matang mereka berdepan suara rakyat.
Khairul yang juga dikenali sebagai Jonah mengingatkan perhimpunan Bersih 2.0 adalah hak rakyat untuk berhimpun secara aman bagi menuntut perjalanan pilihan raya yang lebih adil dan telus, selaras peruntukan perlembagaan.
“AMK menyarankan kepada Pemuda Umno dan Perkasa agar tidak membuang masa dengan mengugut rakyat. Jangan memperbodohkan rakyat dengan sistem yang menindas, sebaliknya belajarlah berhadapan dengan kuasa rakyat secara bermaruah,” katanya.
Tegasnya, perhimpunan itu bertujuan untuk memperbaiki sistem Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan menuntut kerajaan supaya lebih peka terhadap keperluan perjalanan pilihanraya yang adil untuk semua pihak.
“AMK ingin membalas semua ‘kerisauan’ yang ditimbulkan oleh Umno, Perkasa, dan Polis ini dengan satu pertanyaan sahaja: “mengapa mereka perlu takut denganperhimpunan Bersih 2.0 sekiranya mereka yakin sistem Pilihanraya yang diselenggara oleh SPR di Malaysia benar-benar telus dan bersih?,”soalnya.
Malah, sistem pilihanraya yang adil dan telus bukan untuk menguntungkan PKR ataupun rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat, sebaliknya ia menguntungkan rakyat kerana suara mereka diterjemahkan dengan betul tanpa sebarang manipulasi.
Pemuda Umno dan Perkasa sebelum ini menyatakan hasrat untuk turut sama mengadakan perhimpunan pada tarikh dan masa yang sama bagi menyokong sistem pilihan raya di negara ini.
Ia disusuli dengan kenyataan berbaur perkauman yang dikeluarkan Presiden Perkasa, Ibrahim Ali yang memberi amaran kepada kaum Cina supaya ‘membeli makanan tambahan untuk disimpan di rumah’ jika perhimpunan itu tidak dihentikan.
Malah pertubuhan pelampau itu turut memberi ancaman kepada Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan dengan menyatakan beliau sebagai ‘Wanita Hindu yang berbahaya’.