KUALA LUMPUR 22 JUN : Rayuan Ketua Pembangkang yang kesekian kalinya untuk menggugurkan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah daripada mendengar perbicaraan konspirasi kedua terhadapnya, akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 6 Julai depan.
Permohonan menggugurkan hakim itu kali keempat dibuat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tiga daripadanya ditolak Zabidin atas alasan beliau berkreadibiliti untuk menghakimi perbicaraan itu.
Peguam Anwar, Sankara Nair mengesahkan sesi pendengaran itu setelah menerima pemberitahuan itu dari pendaftar Mahkamah Rayuan, semalam.
Anwar menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan di kondominium Desa Damansara antara jam 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.
Hakim Zabidin sebelum ini mengarahkan ketua pembangkang itu membela diri dan mendapati Saiful adalah sakti yang boleh dipercayai meskipun Saiful direkodkan berkali- kali menukar kenyataannya.
Peguam utama Anwar, Karpal Singh berhujah bahawa keputusan Zabidin menunjukkan hakim itu membuat pra-penghakiman sebelum perbicaraan itu selesai.
Bagaimanapun, pada 6 Jun, Hakim Zabidin memutuskan bahawa permohonan kali ketiga Anwar untuk menggugurkannya tidak mempunyai merit.
Karpal, bagaimanapun, berjaya mendapatkan perintah penangguhan daripada Zabidin sementara menunggu rayuan tersebut.
Walau apa pun hasil rayuan tersebut, Hakim Zabidin telah menetapkan 13 Julai depan untuk Anwar membela diri di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.