KUALA LUMPUR 22 JUN : Ahli Parlimen Kuantan bersedia bertemu dengan Pengerusi Eksekutif Lynas, Nicholas Curtis bagi membincangkan isu berbangkit loji pemprosesan tanah jarang tersebut.
Bagaimanapun Fuziah menyatakan pertemuan itu seharusnya dilakukan secara terbuka dan turut membenarkan kehadiran media demi menunjukkan ketelusan pihak Lynas dalam isu ini.
Fuziah turut mencadangkan agar pertemuan itu diadakan pada 1 Julai depan, memandangkan sidang parlimen sesi keempat 2011, hanya akan berakhir pada 30 Jun ini.
"Saya menyambut usaha anda (Lynas) untuk mengadakan dialog yang bermakna dan respon anda untuk pertemuan yang lebih telus dan terbuka dengan rakyat awam," katanya dalam sidang media di Parlimen hari ini.
Semalam, Curtis menghantar surat jemputan untuk berdialog dengan Fuziah mengenai aduan dan protes yang dibuat awam terhadap pembinaan dan pengurusan sisa Thorium, loji berkenaan.
Curtis juga mendakwa pada 17 Jun lalu, Rumah Pengurus syarikat pembinaan loji berkenaan di Kuantan, Bill Morris telah dibaling bom api dan diconteng dengan cat, dengan perkataan 'Pulang ke Australia, Lynas'.
Fuziah menyampaikan rasa simpati beliau terhadap insiden berkenaan dan menyatakan ia adalah bentuk bantahan masyarakat bersabit pembinaan loji tersebut.
"Saya hendak menyampaikan rasa simpati dan kesal insiden berkenaan berlaku kepada pekerja Lynas. Ini tidak sepatutnya berlaku kepada sesiapa yang tinggal di Kuantan kerana kami selalu berbangga dengan keamaan yang menjadi lambang bandar ini. Bagaimanapun insiden ini menunjukkan bukti betapa kehadiran LAMP membawa ketidakstabilan komuniti," kata beliau.
Fuziah merujuk kepada insiden sebelum ini di mana semasa lawatan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) ke Lynas bulan lalu, sekumpulan penyokong projek Lynas yang dinamakan BADAR melakukan kekasaran terhadap orang awam dengan kata kata kesat malah memecahkan cermin kereta mereka yang menentang projek itu.
Fuziah turut sekali lagi menyatakan betapa penilaian projek Lynas sepatutnya dilakukan oleh penilai bebas yang merangkumi keseluruhan aspek termasuk impak alam sekitar dan bukannya hanya IAEA.
"IAEA adalah pro industri nuklear dan tidak boleh dikatakan sebagai evaluasi tidak berat sebelah dan adil. Saya tidak mempertikaikan kredibiliti dan kepakaran mereka tetapi saya nyatakan sekali lagi evalusai ini tidak menyeluruh dan ia perlu melibatkan beberapa lagi aspek seperti Kesihatan Awam dan Impak Alam Sekitar," kata beliau