KUALA LUMPUR 22 JUN : Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kematian pembantu politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock hari ini menyerahkan laporan setebal 124 halaman kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara.
Pengerusinya, Tan Sri James Foong berkata, salinan laporan oleh lima anggota panel itu juga akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak petang ini.
Menurut Foong, kini terpulanglah kepada Seri Paduka untuk menentukan sama ada laporan suruhanjaya itu akan didedahkan kepada umum atau tidak.
Selain Foong, suruhanjaya turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk TS Nathan, Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik yang juga Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.
Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Najib pada 26 Januari lalu, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat keputusan terbuka.
Sepanjang persidangan, pelbagai saksi dipanggil termasuk pakar patologi, psikiatri, anggota keluarga dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain terdapat beberapa fakta baru yang tidak didedahkan pada inkues mengenai kematiannya di Mahkamah Koroner Shah Alam sebelum ini.
Teoh, 30, pembantu politik exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan berkenaan.