PRU 13: Masuk gear 3 - 4

PRU 13: Masuk gear 3 - 4
Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 3 Dis: Keputusan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak menangguhkan pemilihan parti pada 2011 selama 18 bulan bagi memberi ruang untuk mengukuhkan parti merupakan petanda pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) semakin hampir.

Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berkata, PAS mengambil serius petanda tersebut dan memulakan 'pecutan gerak kerja pilihan raya' bagi menawan Putrajaya.

“Saya melihat bahawa penangguhan ini satu daripada petanda kebarangkalian pilihan raya umum ini akan diadakan pada tahun hadapan. Saya telah pun membuat kenyataan ini dalam beberapa siri ceramah saya.

"Kalau lihat perkembangan-perkembangan yang berlaku dalam negara kita dan seperti mana yang telah diandaikan oleh lain-lain pimpinan PAS, persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum 13 mesti diaktifkan parti dan kami telah pun membuat beberapa perancangan dalam konteks itu yang telah pun diputuskan oleh mesyuarat jawatankuasa politik," kata Nasharudin kepada Harakahdaily.

Sehubungan itu katanya, PAS bersama Pakatan Rakyat sedang giat mengadakan siri jelajah bagi menyampaikan mesej kepada rakyat agar menyokong Pakatan Rakyat dalam PRU 13 nanti.

"PAS akan mula dengan siri roadshow yang melibatkan setiausah agung (PAS) dan pengarah pilihan raya untuk mereka memantau dari dekat tentang persiapan-persiapan pilihan raya ini secara lebih teratur.

"Kita sudah mobilisasi persiapan pilihan raya ini mengikut fasa-fasa. Contohnya di Sarawak kita telah menubuhkan Sekretariat Pakatan Rakyat di peringkat negeri hasil daripada pilihan raya kecil Sibu dan beberapa siri lawatan kita.

"Turunnya setiausaha dan pengarah pilihan raya ini dalam konteks PAS adalah bagi memantapkan lagi persiapan tersebut. Kita nak masuk gear tiga hingga gear 4," katanya.

Diminta mengulas mengenai jangkaan PRU 13 akan berlangsung sekitar Mac hingga Jun, beliau berkata, tahap demokrasi di Malaysia masih rendah apabila rakyat khususnya parti-parti yang bertanding tidak dapat mengetahui secara tepat tarikh pilihan raya.

"Inilah dia tahap demokrasi di Malaysia yang kita walaupun sebahagian daripada komponen penting dalam proses demokrasi, parti yang telah melibatkan diri dalam proses itu, parti yang pernah dan sedang memerintah, kita tidak tahu bila pilihan raya akan diadakan.

"Kalau di negara-negara lain, paling tidak mereka akan tahu dalam masa 3 bulan, 6 bulan, bila pilihan raya akan berlaku. Tapi di Malaysia kita hanya dapat mengagak dan mengandaikan bila pilihan raya," katanya yang juga ahli Parlimen Bachok.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan perkara itu dilakukan bagi menjejaskan usaha Pakatan Rakyat memenangi hati rakyat.

"Ini sudah tentu sedikit sebanyak akan menjejaskan beberapa perkara penting khususnya kekangan media kita agak terbatas. Kita sudah tentu tak dapat sampaikan mesej kepada rakyat untuk menyokong kita," katanya lagi.

Dalam pada itu katanya, PAS akan terus meningkatkan usaha ke arah memenangi PRU 13 di samping memperbaiki kelamhan-kelemahan yang ada.

"Saya sebagai pengerusi lajnah hal ehwal parlimen akan megadakan persidangan melibatkan semua ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri untuk berhimpun dan muhasabah apa yang telah kita buat dan kekurangan kita bagi memastikan kerusi yang telah kita menang, kita pertahankan dan kerusi yang tidak menang dapat kita menangi," katanya.

LIHAT VIDEO TEMUBUAL

No comments: