Pulau Pinang juga tunjuk minat ambil alih operasi pelabuhan neger

Pulau Pinang juga tunjuk minat ambil alih operasi pelabuhan negeri

December 03, 2010

KUALA LUMPUR, 3 Dis — Kerajaan negeri Pulau Pinang juga menunjukkan minat mahu mengambil alih Penang Port Sdn Bhd (PPSB) daripada Putrajaya, yang dilaporkan menerima beberapa tawaran menguasai pelabuhan utara Semenanjung ini yang mempamerkan keuntungan sejak kebelakangan ini.

The Malaysian Insider difahamkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah mengemukakan bidaan kepada pemilik PPSB - Kementerian Kewangan baru-baru ini.

Turut memperlihatkan minat ialah tokoh perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Datuk Siew Ka Wai, yang kedua-duanya rapat dengan pentadbiran Najib.

“Pulau Pinang sudah pun mengemukakan tawaran mendapatkan PPSB. Ia yakin bahawa boleh melakukan kerja yang lebih baik berbanding pengurusan semasa,” kata sumber kerajaan negeri kepada The Malaysian Insider.

PPSB memperoleh keuntungan selepas cukai sebanyak RM77.74 juta pada tahun lalu, meningkat daripada RM22.70 juta yang dicapai pada 2008 meskipun pulangan merosot kepada RM268.54 juta berbanding RM277.04 juta pada 2008.

Sumber-sumber kerajaan negeri memberitahu Lim mampu membawa cukup ahli perniagaan dan pakar untuk menguruskan PPSB yang kini memerlukan dana bagi mendalamkan saluran pelabuhan itu dan memodenkan dermaga.

“Lim mempunyai beberapa idea untuk menyusun semula pelabuhan dan membolehkannya beroperasi dengan lebih baik,” kata sumber itu dengan mengatakan bahawa Pulau Pinang memiliki tanah pelabuhan dan perairan, dan sebenarnya mempunyai kata dalam soal menentukan siapa sebenarnya memiliki PPSB.

Rakan-rakan Lim dari DAP memberitahu Parlimen pada 24 November lalu bahawa Putrajaya seharusnya tampil menjelaskan sama ada Syed Mokhtar telah membeli pengurusan PPSB, yang diterajui oleh pemimpin-pemimpin Umno, antaranya Pengerusi PPSB Datuk Seri Dr Hilmi Yahya dan pengarah urusannya Datuk Ahmad Ibnuhajar.

Konglomerat Syed Mokhtar diberikan lesen penyedia rangkaian 4G baru-baru ini manakala satu lagi subsidiarinya berminat untuk mendapatkan Lebuh Raya Utara-Selatan.

Bagaimanapun Syed Mokhtar berhadapan dengan saingan daripada pengendali pelabuhan Siew, tokoh industri prokerajaan yang baru-baru ini memperluaskan syarikat media Red Berry untuk menyertakan bersama akhbar tabloid The Malay Mail, Bernama TV dan akhbar harian Malaysian Reserve.

Kerajaan negeri Pakatan Rakyat pimpinan Lim pula merupakan pesaing kepada kerajaan pusat Barisan Nasional (BN), yang baru-baru ini melantik Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebagai pengerusi badan kawal selia pelabuhan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC).

PPC mengeluarkan lesen kepada PPSB untuk mengendalikan pelabuhan itu yang diswastakan pada 1 Januari 1994 iaitu ketika Pulau Pinang ditadbir oleh BN.

Kepimpinan pentadbiran kerajaan negeri berubah pada pilihan raya umum ke-12 dua tahun lalu.

Ahli Parlimen Tony Pua mengemukakan persoalan semalam berhubung pengambilalihan PPSB oleh Syed Mokhtar dan menuntut penjelasan sepenuhnya daripada kerajaan mengenai proses penswastaan.

Wakil rakyat Petaling Jaya Utara ini menekankan bahawa operasi pelabuhan itu diselubungi salah guna dan penyelewengan sebagaimana disebutkan oleh Laporan Audit Negara 2009 dan akan disiasat oleh oleh Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara dalam dua minggu ini.

Dengan merujuk kepada laporan spekulatif Business Times Singapura Oktober lalu, Pua berkata, jika pengambilalihan menjadi kenyataan, ia akan menjadi satu lagi tindakan bertentangan dengan banyak janji kerajaan yang mahu bertindak telus dan penuh akauntabiliti, yang dijanjikan oleh Model Ekonomi Baru (MEB) Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pua juga menggambarkan langkah itu sebagai satu lagi proses penswastaan “ala-Dr Mahathir” dan mempersoalkan mengapa kerajaan tidak mengadakan tender terbuka bagi pembida terbaik membangunkan pelabuhan tersebut.

Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi berkata, kerajaan negeri Pulau Pinang merasakan “dihina dan ditipu” apabila penyerahan Pelabuhan Pulau Pinang tidak dilakukan secara terbuka.

Justeru, beliau menggesa agar Ketua Pegawai Eksekutif PPSB digantung ekoran laporan salah guna dan penyelewengn dalam operasi pelabuhan.

No comments: