Bahagian 2: PENGANGGURAN DAN MODAL INSAN MALAYSIA
Modal insan gagal dipupuk oleh kerajaan di kalangan majikan
Situasi di dalam sektor sumber manusia hari ini juga sedikit sebanyak tidak mempunyai ruang yang cukup untuk maju dalam kerjaya. Inilah kelemahan dasar modal insan atau ’human capital’ negara ini yang menyaksikan Malaysia telah jatuh ke belakang di dalam amalan modal insan di dalam organisasinya tidak kira awam ataupun swasta. Buktinya baru beberapa hari lalu, Kuala Lumpur dilaporkan jatuh ke tangga 48 dari tangga 40 di antara 65 bandaraya besar dunia yang dilaporkan oleh sebuah firma perunding pengurusan terkenal dunia, AT Kearney. Firma berkenaan berasa ragu-ragu pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib untuk menjadikan ibu kota Malaysia ini sebagai kota berkelas dunia dengan kelemahan yang ada.
Antara penyebab utama yang menurunkan Malaysia kali ini ialah kelemahan di dalam rancangan dan pelaksanaan program modal insan (human capital planning). Malaysia ditegur kerana masih menekankan kepada pembangunan fizikal semata-mata apabila Pelan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang digarapkan oleh Najib masih gagal menitikberatkan isu pekerja dan modal insan. Pada hari ini, Malaysia sudah benar-benar berada dalam keadaan kaget apabila para pekerja masih dianggap sebagai mesin atau alatan untuk sesebuah organisasi untuk tujuan membuat untung semata-mata dan bukannya sebagai aset agar bakat pekerja dapat diasuh, diberikan peluang latihan pembangunan diri, peluang kenaikan pangkat dalam kerjaya yang berpanduan dan memperolehi sistem penilaian prestasi kerja yang telus melalui KPI dan kompetensi.
Disebabkan keadaan ini, para majikan tidak berasa hairan sekiranya pekerjanya meninggalkan syarikat kerana mereka tidak rasainya sebagai satu kehilangan besar. Untuk itu mereka menumpukan Bahagian Sumber Manusia semata-mata untuk pengambilan pekerja sedangkan di negara-negara maju, kehilangan atau turnover staf adalah satu kerugian besar organisasi dan bahagian sumber manusia mereka lebih menumpukan usaha kepada modal insan terutamanya dalam merangka latihan industri, program menggalakkan pembangunan bakat (talent)dan peluang kenaikan dalam kerjaya yang menjuruskan kepada pengekalan staf di dalam syarikat. Bahagian sumber manusia mereka juga tidak lagi membuat banyak kerja-kerja sumber manusia yang dianggap ortodoks seperti pengambilan pekerja semata-mata sebagai fungsi utama mereka tetapi lebih menumpukan kepada aspek pembangunan organisasi.
Di kalangan syarikat dan firma di Malaysia, hanya yang dilihat sebagai kehilangan besar pada staf mereka yang membawa masuk wang yang banyak ke dalam syarikat sekiranya meninggalkan syarikat mereka terutamanya di sektor perbankan dan kewangan terutamanya pekerjaan berkaitan dengan pemasaran. Ini adalah kerana bentuk budaya kerja yang masih wujud di Malaysia yang hanya mementingkan wang masuk semata-mata yang mana keadaan ini pernah wujud di Amerika Syarikat lebih kurang 30 tahun yang lalu.
Apabila masa kini terus berlalu, keadaan di Amerika Syarikat dan negara-negara maju bukan sahaja mencapai negara berpendapatan tinggi, tetapi juga beralih dari mementingkan keuntungan total kepada melahirkan bakat-bakat yang terbaik di dalam industri dengan melaksanakan sistem modal insan yang menekankan kepada aset kemanusiaan untuk masa depan syarikat yang lebih bertahan lama dalam dunia persaingan. Jika kita masih pada tahap yang sama ini sehingga tahun 2020, maka Wawasan 2020 akan hanyalah satu khabar yang indah dari rupa.
Majikan masih mempunyai kuasa penentu mutlak skim gaji dan manfaat pekerja
Di Malaysia, bukan sahaja peluang pekerjaan yang semakin kurang untuk golongan yang berijazah tetapi sikap majikan yang kini mampu berkuasa mengawal dan menentukan gaji pekerja. Ini kerana mereka tidak bimbang untuk tidak mendapat pekerja baru sekiranya pekerjanya berhenti. Bagi mereka, berduyun-duyun mahasiswa yang ada di luar untuk mendapatkan pekerjaan itu walaupun dengan gaji yang rendah. Ada syarikat yang sanggup menyediakan program persaraan secara sukarela atau lebih dikenali sebagai VSS dan ada juga secara paksa atau MSS untuk menyingkirkan golongan pekerja lama yang memperolehi gaji yang tinggi. Tujuannya adalah untuk membolehkan mereka mencari pekerja muda yang boleh ditawarkan dengan gaji yang rendah.
Maka dengan itu peluang pekerja lama untuk maju ke hadapan dalam kerjaya dan mempertingkatkan kualiti hidup mereka semakin berkurangan. Selain dari kemampuan majikan menentukan gaji pekerja baru yang hanya mahu memerah habis keringat yang sebolehnya ke atas pekerja mereka dengan gaji dan manfaat pekerjaan yang rendah, inilah yang boleh ditakrifkan sebagai kegagalan Kementerian Sumber Manusia (KSM) di dalam memperkasakan sistem modal insan di kalangan majikan kita. KSM perlu menyedarkan majikan-majikan di Malaysia bahawa syarat mencapai negara k-ekonomi menjelang 2020, mereka perlulah mula menganggap setiap individu yang bekerja dengan mereka adalah aset yang perlu digilap dan dijagai.
Malaysia menguar-guarkan keyakinannya di dalam media dan di meja-meja perbincangan di dalam dan luar negara bahawa kita mampu mencapai negara maju menjelang 2020. Bagi pendapat saya, Malaysia yang bakal memasuki dekad yang baru tidak lama lagi, sebenarnya amat sukar sekali untuk mencapainya. Petanda-petanda dan penanda aras ekonomi yang ada memang menunjukkan negara akan terus berkembang makro ekonominya tetapi akan sampai satu masanya akan menurun kerana golongan pekerja semakin penat bekerja, revolusi buruh akan mengambil tempat akibat mereka sedar kerajaan menyokong majikan dan produktiviti yang berkurangan beserta dengan masalah kualiti. Ini seterusnya lambat-laun akan membantutkan pembangunan ekonomi yang berterusan untuk mencapai agenda transformasi ekonomi nasional.
Bukan itu sahaja, masalah ini akan menjadi faktor penolak kepada pelabur luar negara untuk memindahkan pelaburan mereka dari negara ini dan kini perkara ini memang sudah pun mula berlaku. Maka, masalah-masalah dalaman pekerja, perkara-perkara berkaitan modal insan, pendidikan, perkongsian ilmu antara institusi akademik dan swasta perlu diberikan perhatian segera sekiranya kita masih kepinginkan status negara maju dalam masa terdekat ini.
Namun begitu, tahun 2020 yang hanya 10 tahun dari sekarang, bagi mencapainya adalah satu perkara yang mustahil buat masa sekarang. Faktor yang menyumbang kepada kemungkinan kecil bagi mencapainya adalah kerana pemimpin negara utama negara yang lebih gemar berpolitik daripada melakukan kerja yang diamanahkan rakyat untuk pembangunan negara. Mereka lebih nampak sibuk melakukan apa sahaja menerusi agenda politik untuk memastikan mereka terus berkuasa dan terus lupa bahawa mereka menerima gaji daripada rakyat pada hari ini untuk mentadbirurus negara ini supaya menjadi lebih baik.
Ingatlah! Masa tidak menunggu kita dan balaslah balik amanah yang telah diberikan oleh rakyat. Tidak kira siapalah yang bakal membentuk kerajaan di masa depan, BN atau Pakatan Rakyat tetapi kepentingan negara ini adalah jauh melampaui batas politik masing-masing. Menyempurnakan amanah adalah sesuatu yang dituntut di dalam Islam dan ia juga dititikberatkan di dalam ajaran agama-agama yang lain.
Shaharul adalah seorang perunding Sumber Manusia Strategik dan program pembangunan organisasi, Selain itu, beliau juga menulis beberapa artikel analisa perkembangan politik, sosial dan ekonomi yang diterbitkan di dalam KLToday.com. Beliau boleh dihubungi di rashidzack@yahoo.com