Azmin pula dahului Zaid, SU Agung PKR dakwa data silap
PETALING JAYA, 1 Nov — Keputusan rasmi kali ketiga dikeluarkan hari ini termasuk penjelasan pada sidang media menunjukkan Naib Presiden Azmin Ali pula mendahului saingan timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Selepas menyaksikan situasi peratusan keluar mengundi yang rendah sepanjang tiga hari pertama, pemilihan kali pertama menggunakan sistem pemilihan langsung ini berhadapan kesilapan keputusan rasmi awal.
Azmin, Ahli Parlimen Gombak, memperoleh 3,051 undi manakala Datuk Zaid Ibrahim diumumkan hanya menerima 2,529 undi manakala seorang lagi calon, Mustaffa Kamil Ayub, yang juga Naib Presiden PKR, mengumpulkan 1,149 undi.
Mengumumkan perkara itu tengah hari ini, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata, perubahan kedudukan adalah ekoran kesilapan manusia dalam memasukkan data keputusan.
“Ia kesilapan manusia,” kata beliau pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini hari ini.
Perubahan kedudukan termasuk yang diumumkan Saifuddin adalah yang ketiga sejak pagi tadi.
Keputusan yang diperoleh dari laman web PKR sekitar 10 pagi menunjukkan Azmin mendapat 3,051.
Ketika itu, Zaid mendapat 3,683 undi manakala Mustaffa pula 1,241 undi.
Kira-kira setengah jam selepas keputusan itu disiarkan, jumlah undi diperoleh Mustaffa meningkat 30 menjadi 1,271.
MENYUSUL LAGI