MEMO TUBUH KUIL







MEMORANDUM KUIL OM SREE SIVAKALI AMMAN,SERDANG


(A) Sejarah Pewujudan Kuil

Kuil Om Sree Sivakali Amman adalah kuil yang berusia 60 tahun. Pada asalnya kuil ini terletak di lokasi yang kininya menjadi Kampus Uniten (Universiti Tenaga Nasional). Kuil ini telah dibina oleh penghuni-penghuni pinggir kawasan Bangi, Kajang dan Serdang yang beragama Hindu yang menetap di kawasan tersebut. Tapak kedudukan kuil tersebut terpaksa dipindah atas alasan Pembinaan Kampus Uniten dan Pelebaran Lebuhraya Kajang-Puchong. Alamat asal kuil tersebut adalah Batu 6 ½, Jalan Puchong- Kajang, Selangor. Kesan daripada pembangunan, Kuil ini mendapat kelulusan daripada Jabatan Kerja Raya untuk berpindah di lokasi Jabatan Kerja Raya berhampiran Hospital Serdang. Kuil ini berpindah pada bulan December 1993 di lokasi baru bersaiz 1 ekar. Kini kedudukan kuil ini lebih mengala ke Putrajaya. (B) Sambutan

Kuil ini merupakan kuil utama Penduduk Putrajaya dan Cyberjaya yang beragama Hindu. Tidak dapat dinafikan bahawa kuil ini menjadi tumpuan penganut agama Hindu dari Negara India, Singapura dan Sri Lanka yang bekerja di Putrajaya dan Cyberjaya. Di samping penganut agama Hindu Putrajaya dan Cyberjaya, kuil ini menjadi tumpuan penganut agama Hindu dari kawasan berhampiran seperti Serdang, Kajang, Puchong dan Seri Kembangan. Setiap hari Jumaat dan hari-hari khusus pemujaan, penganut agama Hindu yang mengadiri kuil tidak kurang daripada 500 orang setiap masa. Lebih daripada 3,000 penganut agama Hindu mengadiri upacara sembahyang ulangtahun. (C) Pengiktirafan Sebagai Kuil Berdaftar Dalam Senarai Ahli Persatuan Di Bawah Malaysia Hindu Sangam

Kuil Om Sree Sivakali Amman telah menjadi Ahli Seumur Hidup dalam senarai ahli Malaysia Hindu Sangam. Keahlian kuil ini ialah LMT 1216 dan dikeluarkan sijil rasmi bertarikh 30 September 2008. (rujukan 1) Kuil ini telah disenaraikan sebagai kuil yang sah dan menurut ajaran agama Hindu yang betul dan benar mengikut Kitab-kitab suci agama Hindu. Kuil berkenaan menjalankan semua upacara rasmi dan digalakkan dalam ajaran agama Hindu. (D) Jawatan Kuasa Kuil

Kuil ini di bawah pengelolaan seramai 16 orang ahli. Ahli-ahli pengurusan kuil terdiri dari kumpulan profesional yang perjawatan tinggi dan berpengaruh. (rujukan 2) Pengerusi kuil adalah Penjaga Kuil tersebut dan beliau menjalankan semua upacara pemujaan kuil. Beliau adalah orang tempatan. Oleh yang demikian, masalah sami atau pemuja tidak akan wujud. Semua ahli dalam jawatan kuasa kuil tinggal berhampiran kuil tersebut. (E) Kuil Terletak Di Lokasi Strategik Putrajaya dan Cyberjaya

Kedudukan kuil ini menjadi tarikan warga Putrajaya keseluruhannya dan pelancong asing. Pelancong asing dan penganut agama Hindu tidak pernah ketinggalan untuk mengunjung ke kuil ini setiap kali menuju ke Putrajaya/Cyberjaya. Saya percaya kedudukan kuil dalam lokasi Putaraja / Cyberjaya boleh menarik perhatian pelancong dan menjana ekonomi negeri. (F) Usaha Gagal Mendapat Tanah Ketika Barisan Nasional Memerintah Negeri Selangor

1. Jawatan kuasa kuil pada bulan September,1993 telah memohon tanah kepada kerajaan negeri Barisan Nasional atas kesan pembangunan di lokasi asal. Kerajaan negeri ketika itu meluangkan tanah yang tidak digunapakai oleh Jabatan Kerja Raya sebagai tapak pembinaan kuil baru tetapi berjanji akan mendapatkan tapak yang sesuai dalam masa terdekat.(rujukan 3)

2. Pada tahun 1998, Parti MIC menjalankan satu kajian untuk pertimbangan tapak baru untuk kuil berkenaan. Kajian ini dipercayai semata-mata meraih sokongan Pilihan Raya tahun 1999.

3. Pada 4 Januari 2008, satu perjumpaan khas bersama bekas Menteri Besar, Dato Seri Khir Toyo telah diadakan di Batu Caves. Dalam perjumpaan tersebut bekas Menteri Besar memberi janji manis akan mempertimbangkan permohonan tapak baru kuil dengan syarat mengundi Barisan Nasional. (rujukan 4) Segala usaha untuk mendapatkan tapak pembinaan kuil gagal ketika pemerintahan kerajaan negeri Barisan Nasional. Kami percaya keruntuhan kerajaan Barisan Nasional negeri Selangor satu petanda baik kepada masa depan kuil. (G) Memohon Mendapatkan Tapak Pembinaan Kuil Baru Seluas 1 Ekar

Kami menaruh harapan tinggi dengan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang boleh menyelesaikan masalah tapak pembinaan kuil tidak kurang daripada 60 tahun. Kami juga mendapati kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor memberi 40 tapak pembinaan baru kuil-kuil di selangor. Pakatan Rakyat menangani masalah Kuil di seksyen 19 Shah Alam telah memberi keyakinan baru untuk memohon bagi Kuil Om Sree Sivakali Amman. Kami percaya usaha baru ini boleh berjaya. (H) Cadangan Tapak Baru Kuil

1. Tapak kuil berhadapan pintu masuk Hospital Serdang melintasi jalan raya. Tapak terbiar ini adalah kawasan Pokok-pokok Getah. 2. Sepanjang Jalan Raya Serdang menuju Pusat Latihan Bangi 3. Sepanjang kawasan berhampiran Universiti Putra Malaysia(UPM) dari pintu masuk UPM utama sehingga ke Hospital Serdang. (I) Harapan

Kuil Om Sree Sivakali Amman merupakan kuil yang tidak asing kepada penganut agama Hindu di negeri Selangor. Kuil ini secara puratanya dihadiri oleh penganut Agama Hindu dan pelancong asing tidak kurang 500 orang setiap kali penyembahan. Kuil ini juga mendapat perhatian Para Politik termasuk Yang Berhormat yang berulang-alik ke Putrajaya / Cyberjaya. Lebih-lebih lagi Kuil Om Sree Sivakali Amman telah didaftar sebagai kuil yang sah di bawah Malaysia Hindu Sangam. Kami menaruh harapan tinggi ke atas kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dalam menjayakan usaha untuk mendapatkan tapak tanah pembinaan kuil seluas 1 ekar.


Sekian terima kasih

Yang berharap,

---------------------------------------


Sivananthan a/l Puraviya Pillai

--------------------------------

Varatharaju a/l RagavanPengerusi Kuil

Setiausaha Kuil
---------------------------------------

K.Vasantha Kumar a/l Krishnan

Penasihat – Kuil Om Sree Sivakali Amman