Isu Dokumen Liwat, Kes Tangguh Didengar Esok



KUALA LUMPUR [2.51 pm] - Permohonan pendakwaan bagi mendapatkan penangguhan pelaksanaan terhadap perintah Mahkamah Tinggi supaya menyerahkan dokumen yang diminta oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim akan didengar esok. Ia dijadual didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah pada 9 pagi. S.M Nair, salah seorang peguam yang mewakili Anwar, ketika dihubungi mengesahkan bahawa firmanya (S.N.Nair & Partners) menerima surat berhubung perkara itu daripada mahkamah menerusi faks, pagi ini. Pada 2 petang semalam, pihak pendakwaan memfailkan notis usul di Bahagian Jenayah Mahkamah Tinggi di sini, bagi memohon penangguhan pelaksanaan perintah itu yang ditandatangani oleh Datuk Nordin, seorang daripada Timbalan Pendakwa Raya bagi kes liwat berkenaan. Turut difailkan ialah perakuan segera agar kes itu didengar secepat mungkin. Pada 16 Julai, Hakim Mohamad Zabidin membenarkan permohonan Anwar dan memerintahkan pendakwaan supaya menyerahkan dokumen berkenaan dalam masa tujuh hari. Tempoh tujuh hari itu berakhir pada Khamis.

No comments: