Najib tidak akan dapat tiru gaya Tun Razak - Mustafa Ali


PENANTI, 30 Mei (Hrkh) - Pengarah Jabatan Pilihan raya PAS, Dato' Mustafa Ali berkata, sikap Tun Abdul Razak jauh berbeza dengan anaknya, Dato' Seri Najib walaupun beliau cuba meniru gaya pemerintahan ayahnya apabila memilih China sebagai lokasi luar negara pertama setelah diamanahkan menerajui negara.


Kepimpinan Tun Abdul Razak nampak santai kerana beliau gemar mendekati rakyat dengan memperkenalkan program seperti 'Buku Hijau' pembukaan kawasan Felda untuk rakyat yang miskin dan pertambahan pelaburan mengikut jadual.


Tetapi Najib bersikap keras pada rakyat sanggup menangkap rakyat yang berpuasa sunat, mogok lapar kerana sayangkan demokrasi, berpiket aman dan sebagainya.
"Najib cuba nak tiru gaya kepimpinan ayahnya, Tun Abdul Razak tapi dia lupa sikapnya tidak terbuka dan terlalu banyak skandal melibatkan namanya tidak dibersihkan," ujar beliau.
Lawatan pertama Najib ke China baru-baru ini bermatlamat membuka ruang pelaburan dan perniagaan di samping membina hubungan dua hala dalam bidang pelancungan.


Menurut Mustaffa yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Trengganu, Najib terpaksa ke China untuk mengembalikan sokongan masyarakat itu terhadap kepimpinan Barisan Nasional (BN) yang nyata makin terhakis.
Sokongan masyarakat bukan Islam kepada Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-12 lalu membuatkan BN hampir menjadi pembangkang di Malaysia maka langkah terkini ialah mengembalikan kepercayaan mereka pada BN.


"Najib berharap lawatan ke China akan membolehkan sokongan diperolehi semula sebelum pilihan raya umum akan datang. Jika tidak BN pastinya berputih mata melihat perubahan yang berlaku," kata beliau.
Walau apapun beliau berharap jentera Pakatan Rakyat bersatu tenaga untuk menentukan kemenangan berpihak kepada Dr Mansor Othman.
Jangan sekali-kali bertindak tanpa ikut arahan kepimpinan kerana ia bukan sahaja melemahkan organisasi parti malahan boleh mencetuskan rasa kurang senang di kalangan ahli gabungan Pakatan Rakyat, katanya.


Berceramah sama dalam program di Markaz Utama PAS N12 Penanti ialah Naib Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali, Naib Presiden PAS Pusat, Ustaz Ahmad Awang dan ramai lagi.

No comments: